233,782 pengguna sudah berdaftar dengan PADU – Rafizi

Sebanyak 233,782 pengguna telah berjaya mendaftar di bawah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dalam tempoh 24 jam selepas pelancarannya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 71 peratus atau 118,115 pengguna berjaya melakukan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan untuk pendaftaran PADU.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam perkembangan terbaru di X berkata, setakat ini beliau mengenalpasti lima isu berbangkit mengenai kelemahan PADU.

Pertama, nombor kad pengenalan digunakan untuk ‘override’ dan tukar kata laluan.

Menurut Rafizi, kelemahan dalam pengendalian authentication ini tidak ditemui semasa Security Posture Assessment (SPA), namun pasukannya telah mengambil tindakan segera serta penyelesaian telah dilaksanakan dalam tempoh 1 jam dan telah selesai pada 2 Januari 2024 jam 9.15 malam.

Kedua, pengguna boleh melangkaui keperluan e-KYC dan terus mengisi maklumat.

“Bagi melicinkan proses pengemaskinian individu, maklumat pengemaskinian boleh dilaksanakan sejurus log in (selepas daftar masuk) tanpa melalui proses e-KYC.

“e-KYC hanya dilaksanakan setelah pengemaskinian maklumat dilaksanakan dan individu ingin membuat pengesahan dan perakuan penghantaran profil.

“Sebarang maklumat yang diisi tanpa eKYC yang disahkan tidak akan diintegrasikan ke dalam PADU. Hanya maklumat yang dikemukakan dari pengguna yang telah berjaya pengesahan eKYC dikira sah,” kata Rafizi.

Seterusnya, nombor telefon yang sama boleh digunakan untuk mendaftar lebih dari satu akaun yang bermaksud boleh digunakan sebanyak 5 kali bagi memudahkan pendaftaran individu yang merupakan ahli isi rumah (18 tahun ke atas) atau ibu bapa yang tidak memiliki telefon untuk membuat pendaftaran akaun PADU.

Keempat, aduan melaporkan bahawa proses pengisian mereka tersekat semasa mengisi butiran isi rumah.

Untuk itu Rafizi menjelaskan, bagi tujuan pembentukan isi rumah, individu yang berada di bawah satu isi rumah perlu dimasukkan di bawah satu isi rumah bersama ahli yang lain termasuklah mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan bukan warganegara.

Untuk itu bagi memastikan maklumat isi rumah terselaras, hanya ketua isi rumah sahaja yang dibenarkan membuat pengemaskinian isi rumah.

“Perakuan bagi ahli isi rumah hanya boleh dibuat apabila ketua isi rumah telah selesai mengisi maklumat isi rumah masing-masing.

“Setiap individu digalakkan untuk mengisi bersama-sama isi rumah yang lain bagi memudahkan proses perakuan dilakukan dengan mudah,” katanya lagi.

Yang terakhir, berlaku masalah apabila medan data kosong selepas proses e-KYC.

Menjelaskan lebih lanjut, Rafizi berkata e-KYC merupakan proses pengesahan identiti pengguna, maka pengguna perlu memastikan setiap maklumat yang dikemaskini perlu disimpan (save) pada setiap variabel.

Setelah semua maklumat disimpan, pengguna perlu melaksanakan e-KYC bagi melaksanakan perakuan kepada maklumat yang telah dikemaskini.

BACA JUGA Berkat surat kepada PM tular, KPM bantu Shivaani teruskan persekolahan