Ekonomi Malaysia dalam momentum baik untuk capai KDNK 4-5 peratus
Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada sekitar 4 hingga 5 peratus bagi tahun 2023 berdasarkan momentum ekonomi yang baik yang dilihat setakat ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sentimen perbelanjaan pengguna lazimnya berada pada tahap melebihi purata pada suku keempat berbanding suku tahun lain.
“Suku keempat adalah tempoh pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa untuk perbelanjaan buka sekolah, perbelanjaan tahun baharu, perayaan dan sebagainya apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap barangan.
“Permintaan merupakan komponen terbesar dalam KDNK.
“Oleh itu, kita menjangka ada ruang untuk melihat prestasi KDNK berkembang pada suku keempat nanti,” katanya memetik Bernama hari ini.
Ditanya sama ada jangkaan KDNK pada suku keempat akan melebihi pencapaian suku ketiga, beliau berkata, ia perlu diukur berdasarkan data yang ada.
Melihat cerapan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) untuk sektor pembuatan bagi Oktober lalu, beliau berkata sektor perlombongan dan elektrik meningkat, begitu juga perdagangan antarabangsa apabila lebihan dagangan turut meningkat.
Di samping itu, katanya kadar pengangguran pada bulan yang sama menurun kira-kira 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
“Justeru, untuk Oktober, data telah menunjukkan ekonomi Malaysia bergerak ke arah berkembang.
“Sehingga Januari, kita dapati aktiviti ekonomi pada November dan Disember juga, tidak ada keadaan yang nampak ‘deprive’ berikutan ekonomi terus menunjukkan jajaran berkembang.
“Jika kita menggabungkan ketiga-tiga suku awal, negara telah mencapai KDNK sebanyak 3.9 peratus. Oleh itu, saya menjangka pencapaian ekonomi negara akan terarah seperti yang telah disasarkan oleh kerajaan,” katanya.
BACA JUGA MB Kelantan pun puji PADU