Malaysia kutuk letupan bom di Iran, desak pengganas diheret ke muka pengadilan
Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa dalam insiden pengeboman di Wilayah Kerman, Iran semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden tersebut adalah sesuatu yang amat menyedihkan.
“Ia telah merenggut hampir seratus nyawa yang tidak berdosa dan telah mencederakan lebih dua ratus yang lain.
“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaharu di Lubnan dua hari yang lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia mengutuskan takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan warganya, di samping turut berasa dukacita dan bersolidariti.
Susulan itu katanya, Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas itu diheret ke muka pengadilan.
“Di tahun baharu ini, Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat,” tegas Perdana Menteri.
Semalam, sekurang-kurangnya 103 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 211 lagi cedera dalam dua kejadian letupan berhampiran pusara komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimani di bandar Kerman, Iran.
Letupan tersebut berlaku pada hari ulang tahun keempat kematian Qasem akibat serangan dron Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita Tasnim melaporkan dua beg membawa bom meledak dan pengganas meletupkan bom itu dengan alat kawalan jauh.
Letupan pertama berlaku pada jam 3 petang waktu tempatan disusuli letupan kedua 20 minit kemudian.
Susulan itu, Iran mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung berikutan letupan ganas tersebut.
BACA JUGA Letupan di Iran: Hamas kutuk, AS anggap Israel tidak terlibat
Â