Rasuah: Berhenti sebelum SPRM datang ke pejabat – Aminuddin nasihat penjawat awam
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi peringatan kepada penjawat awam di negeri itu agar tidak mengamalkan perbuatan rasuah sebelum dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Katanya, beliau senada dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kuasa penuh kepada SPRM yntuk menyiasat mana-mana penjawat awam sekiranya ada yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral itu.
Beliau menyarankan agar penjawat awam yang berniat melakukan rasuah untuk berhenti segera sebelum pihak berkuasa ‘datang ke pejabat’.
“Semasa pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada SPRM dan polis kerana begitu tegas kepada pelaku rasuah dan memberi kuasa penuh untuk menjejaki individu yang terlibat dengan rasuah dalam kementerian.
“Saya juga sealiran dengan beliau..jika ada yang sedang berniat atau sedang merancang untuk tujuan tersebut, lebih baik berhenti sebelum SPRM datang ke pejabat anda,” katanya memetik Bernama ketika berucap pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 hari ini.
Beliau turut menyeru penjawat awam supaya mengamalkan urus tadbir yang baik, mengelakkan pembaziran dan mencegah ketirisan selain memastikan setiap ringgit hasil kerajaan negeri dibelanjakan mengikut keperluan.
Jelas beliau, Negeri Sembilan telah melonjakkan hasil negeri daripada RM400 juta ke RM500 juta dalam tempoh lima tahun berikutan kesepakatan dalam mengurus tadbir kewangan.
Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta penjawat awam untuk memperkasa usaha menangani kos sara hidup rakyat dan mencari kaedah terbaik supaya masyarakat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang di samping memastikan bekalan makanan mencukupi.
Beliau berkata mereka perlu bekerjasama dengan agensi yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Baitulmal Negeri Sembilan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekali gus memastikan kekayaan harta negeri ini tidak berlegar dalam golongan tertentu sahaja.
“Pelbagai program pemerkasaan ekonomi rakyat berjaya dilaksanakan sejak 2018 termasuk bantuan modal untuk usahawan, Bantuan Anak Sekolah, Biasiswa Anak Negeri dan pemberian subsidi Rumah Harapan,” katanya.
Penjawat awam juga katanya perlu memastikan sistem penyampaian awam di negeri itu diperhebat demi mengoptimumkan sumber kerajaan untuk manfaat rakyat selain mencanai minda bagi mendepani cabaran.
Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim yang mengumumkan pelaksanaan jadual waktu bekerja fleksibel (BWF) bagi warga perkhidmatan awam negeri bermula 15 Jan ini, jadi saya harap ia dimanfaatkan sebaiknya oleh penjawat awam,” katanya.
BACA JUGA Bagaimana Hadi manipulasi agama untuk lawan DAP? Ini caranya
Â