Ramai puji PM Anwar tegas perangi rasuah
Jawatan Perdana Menteri (PM) adalah kedudukan yang amat istimewa dan hanya mereka yang terpilih serta teristimewa saja layak mendudukinya.
Sejak negara kita merdeka, hanya 10 insan terpilih yang berjaya menduduki kerusi tersebut.
Bayangkan betapa istimewanya 10 insan terpilih tersebut daripada 32 juta rakyat Malaysia yang ada?
Sebab itu, ramai yang berebut-rebut mahu bersalam dan bergambar dengan Perdana Menteri, termasuk daripada kalangan yang pernah mengecam serta memaki sebelumnya.
Tetapi, melihat kepada apa yang berlaku terhadap Najib Razak dan berita yang tersebar sehari dua ini, kedudukan sebagai Perdana Menteri itu nampaknya tidak menjanjikan keistimewaan atau kenikmatan yang berpanjangan.
Setelah tiada lagi jawatan tersebut, tiadalah juga segala keistimewaan dan nikmat yang dibangga-banggakan itu.
Sementara Najib sudah dihukum penjara atas satu hukuman berkaitan salah laku dana SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB, beberapa bekas Perdana Menteri yang lain pula semacam sedang menuju laluan yang sama.
Mahiaddin Md Yasin sedang dibicarakan berkaitan penyelewengan Program Jana Wibawa.
Seorang lagi bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob turut disiasat berkaitan salah guna dana awam sebanyak RM700 juta.
Jumlah sebanyak itu untuk menghebahkan pencapaian kerajaan ketika mereka berkuasa antara 2020 hingga 2022.
SPRM dilaporkan telah pergi ke Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.
“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta baru-baru ini.
“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul,” kata satu sumber berkaitan siasatan terhadap pentadbiran Mahiaddin dan Ismail Sabri.
Perniagaan anak
Di samping dua pemimpin berkenaan yang disiasat, beberapa bekas pegawai kedua-dua bekas Perdana Menteri tersebut juga dilaporkan berada dalam radar siasatan SPRM.
Ini berikutan dana pembayar cukai yang dilihat mungkin diselewengkan cukup besar iaitu berjumlah RM700 juta hanya dalam tempoh 2020 hingga 2022.
Di waktu yang sama, berikutan Tun Daim Zainuddin sedang disiasat SPRM, malah Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan itu telah disita, wujud desakan agar seorang lagi bekas Perdana Menteri iaitu Tun Mahathir Mohamad juga perlu disiasat sama.
Tun Mahathir digesa banyak pihak untuk disiasat bukan saja berkaitan kekayaannya, tetapi juga tentang bagaimana semua anaknya amat berjaya dalam perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, media melaporkan bahawa seorang bekas pemimpin tertinggi negara sedang disiasat SPRM.
Dia disyaki menggunakan dana kerajaan untuk menyelamatkan perniagaan anaknya sehingga syarikat gergasi petroleum negara mengalami kerugian mencecah RM500 bilion sejak 1979.
Syarikat petroleum negara itu juga didakwa dijadikan alat untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan yang menghadapi masalah kewangan.
“Dana daripada syarikat petroleum negara itu disyaki telah digunakan untuk membina beberapa projek mega.
“Selain bekas pemimpin tertinggi itu, ada juga taikun-taikun perniagaan yang turut berada dalam radar siasatan SPRM,” tambah sumber berkenaan.
Membaca laporan di atas, tidak sukar meneka siapakah bekas pemimpin tertinggi yang dimaksudkan itu.
Ertinya, kecuali Tun Abdullah Badawi, semua bekas Perdana Menteri lain yang masih hidup sekarang ini, semuanya sama ada telah dipenjara, dibawa ke mahkamah dan disiasat pihak berkuasa.
Berpeluh dingin
Semua keadaan ini pastilah menjadikan tidur malam mereka tidak lagi senyenyak tidur rakyat biasa yang mungkin sekadar kais pagi makan pagi.
Laluan kehidupan di hadapan mereka ternyata tidak menentu dan silap-silap akan berakhir dengan penjara.
Begitu juga dengan bekas pegawai semua bekas Perdana Menteri yang disiasat itu, tidak mustahil ada di antaranya sentiasa berpeluh dingin, walaupun cuaca di luar hujan sedang turun mencurah-curah.
Makna kata sekarang ini, jawatan Perdana Menteri yang istimewa itu sudah hilang kenikmatannya.
Berkaitan ini, ramai yang memuji Anwar kerana ketegasannya dalam memerangi rasuah.
Namun, apa yang berlaku ini juga merupakan peringatan kepada mereka yang sedang berkuasa – Perdana Menteri, menteri-menteri dan segala macam pegawai sama ada di PMO atau kementerian-kementerian.
Jangan sesekali terjebak dalam keghairahan menghimpun kekayaan. Silap langkah, naik saja PM11 nanti, giliran mereka pula pergi ke mahkamah.
BACA JUGA Mengapa Mahathir terus berpolitik walau usia hampir 100 tahun?