Siasatan ke atas Daim: Empat rekodkan kenyataan di SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan kenyataan empat individu dalam siasatan mereka ke atas mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, kata pasukan peguam beliau.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Sohanpal yang mewakili empat individu tersebut mengesahkan perkara ini dalam satu kenyataan bersama.

“Keempat-emapt individu telah dipanggil untuk tujuan merekodkan kenyataan mereka selaras dengan seksyen 30 Akta SPRM 2009.

“Kesemua mereka telah bekerjasama dan hadir untuk merekodkan kenyataan meskipun mereka menerima notis kurang dari 24 jam,” kata kedua-dua peguam tersebut, lapor Malaysiakini.

Kedua -dua peguam tersebut bagaimanapun berkata bahawa SPRM bertindak dengan “tidak mengikut lunas undang-undang dan menindas”.

Mereka menceritakan bagaimana mereka dipaksa keluar dari bilik siasatan. Ini menghalang mereka dari menjalankan tugas mewakili dan menasihati anak guam mereka.

Mereka turut mengingatkan SPRM perihal hak untuk mendapatkan wakil undang-undang adalah asas kepada sistem kehakiman jenayah Malaysia.

SPRM telah menyita Menara Ilham pada 18 Disember yang dimiliki keluarga Daim setelah Daim tidak memberi kerjasama dalam siasatan mereka.

Ini kerana Daim gagal mengisytiharkan hartanya.

Â