Wisma Putra: Tiada rakyat Malaysia yang terlibat di dalam pengeboman di Kerman
Wisma Putra mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden pengeboman di kawasan Perkuburan Kerman di bandar Kerman, Iran, semalam.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Luar menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi Wisma Putra.
”Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini.
“Rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada di bandar Kerman, dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan,” maklum kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar menegaskan Malaysia menolak sebarang tindakan ganas dan aktiviti keganasan dan menyeru agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera.
”Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pengeboman yang meragut kira-kira 95 nyawa semalam.”
Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di talian +98 21 880724444 atau +98 +98 21 88078606 atau e-mel ke mwtehran@kln.gov.my serta mwconsular.teh@gmail.co
Pada 3 Januari, sekurang-kurangnya 103 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 211 lagi cedera dalam dua kejadian letupan berhampiran kubur komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimani di bandar Kerman, Iran.
Letupan tersebut berlaku pada hari ulang tahun keempat kematian Qasem dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita Iran, Tasnim melaporkan dua beg bom diledakkan oleh pengganas dengan menggunakan alat kawalan jauh.
Letupan pertama berlaku pada jam 3 petang waktu tempatan disusuli letupan kedua 20 minit kemudian.