Sifat Harun Salim Bachik suka fikirkan orang lain beri inspirasi kepada Danial

Meskipun berbeza dalam bidang karier, namun sikap pelakon dan pelawak terkenal, Allahyarham Harun Salim Bachik yang penyabar dan gemar memikirkan tentang kebajikan orang lain, menjadi sumber inspirasi kepada anak keduanya, Danial Al Rashid.

Danial merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Shah Alam daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Mengimbau sikap Allahyarham bapanya, ahli politik berusia 37 tahun itu berkata, arwah lebih suka memikirkan tentang orang lain dan memiliki sifat penyabar.

”Mungkin sesetengah orang akan menggunakan jawatan atau kuasa untuk mempopularkan diri, namun arwah ayah yang pernah menjadi Presiden Seniman tidak begitu.

”Arwah ayah lebih banyak memikirkan rakan-rakan artis dan beliau juga turut berusaha membuat skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk para artis.

”Sifat yang ada pada beliau memberi inspirasi kepada saya iaitu banyak memikirkan tentang orang lain berbanding apa yang kita mahukan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, kelmarin.

Danial berkata demikian apabila ditanyakan mengenai sifat Allahyarham ayah beliau yang dicontohinya, sekali gus menjadi panduan dalam hidupnya.

Sesi temu bual itu dijalankan di pejabatnya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, di Seksyen 16, Shah Alam.

Perhimpunan Bersih

Mengimbas kembali detik awal ketika terlibat dalam dunia politik, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu menceritakan bahawa arwah ayahnya tahu mengenai perkara tersebut sejak beliau berada di universiti lagi.

Beliau berkata, pembabitannya dalam dunia politik semakin ketara apabila pergi menyertai Perhimpunan Bersih di ibu negara.

”Arwah ayah tak tahu saya pergi ke perhimpunan tersebut. Kebetulan masa itu arwah telefon dan tanya saya di mana? Saya pun tergagap-gagap nak jawab, kemudian saya cakap ada di Kuala Lumpur (KL).

”Arwah tanya pegi Bersih ke? Saya jawab ya. Mula-mula saya ingat dia nak marah, tapi dia cuma pesan hati-hati, dah selesai semua nanti telefon ayah semula.

”Mungkin arwah takut apa-apa jadi kepada saya yang boleh menjejaskan reputasi beliau.

“Bila ayah pesan hati-hati, ayat itu beri sedikit kelegaan pada saya dan arwah sememangnya menggalakkan saya terlibat dalam dunia politik,” ujar Danial yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

BACA JUGA Danial mahu bawa perubahan sosioekonomi di DUN Batu Tiga