Anak muda jangan terpengaruh hanya dengan dua, tiga video TikTok

Golongan muda diingatkan agar mengambil sikap fahaman sederhana atau ‘moderate’ terlebih dahulu sebelum melakukan penilaian terhadap prestasi parti-parti politik di negara ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al Rashid Haron menegaskan, golongan muda jangan terpengaruh dengan tempoh dua minggu berkempen.

”Kalau boleh ambil sikap ‘moderate’ dahulu dalam tempoh tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung.

“Katakan PRU dalam tempoh empat tahun lagi. Jadi, sekarang inilah tempoh untuk kita membuat perbandingan daripada sudut pentadbiran kerajaan.

”Jangan terpengaruh dengan tempoh dua minggu berkempen. Ini kerana, dalam tempoh tersebut, pelbagai perkara atau usaha akan dibuat oleh mana-mana parti politik.

”Jadi, buatlah penilaian dalam tempoh tiga tahun kerana ia adalah tempoh sebenar untuk kita melakukan penilaian terhadap parti yang layak mengemudi kerajaan pada masa akan datang.

”Kalau kita bergantung kepada tempoh dua minggu kempen, semua orang boleh cakap.

“Semua orang boleh buat cerita (dalam tempoh dua minggu itu), tetapi ianya tidak sama dengan prestasi kerajaan (jika dinilai) selama tiga atau empat tahun,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily di pejabatnya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, di Seksyen 16, Shah Alam.

Menurut Danial yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor, dalam sesetengah situasi, golongan muda dilihat mungkin akan terpengaruh dengan dua atau tiga sumber yang mana ianya tidak memberikan gambaran luas kepada semua pihak.

”Kadang-kadang kita punya algoritma dalam TikTok akan keluar pada satu sumber.

“Contohnya, ada 10 video, enam video menyebelahi pihak di sana, manakala untuk pihak di sini cuma ada empat video.

”Jadi, mungkin kita akan terpengaruh dengan enam video yang disiarkan itu. Sebenarnya untuk kita menjiwai atau memahami pendekatan politik kedua-dua belah pihak adalah menerusi pembacaan (penilaian) kita sendiri.

”Kalau semua perkara yang dilaksanakan Kerajaan MADANI adalah baik, itulah pertimbangan untuk anda mengundi pada PRU akan datang,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Danial tidak mahu dilabel YB muda tapi tidak aktif, asyik sakit