Tiga penceroboh boleh dipenjara hingga tiga bulan

Tiga individu direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas menceroboh masuk ke dalam kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut (berhubung kejadian itu boleh) menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mira Noraien Norashid di talian 011-11430765,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Iqbal menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, bagi mengelakkan kejadian seperti tersebut berlaku.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 6.10 petang semalam, yang dibuat oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai pembantu operasi di kediaman berkenaan.

“Siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja untuk memasuki Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, melalui pondok pos pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaaan negeri.

“Bertindak atas maklumat, pada 7.30 petang tangkapan ke atas kesemua suspek telah dibuat bersama rampasan sebuah kenderaan jenis Proton Waja, yang digunakan oleh mereka,” katanya.

Mohd Iqbal berkata suspek kes berkenaan merupakan tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 31 tahun hingga 35 tahun dan bekerja sebagai pengamal media di sebuah media tempatan, serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek memberi alasan untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, tetapi tidak mempunyai jemputan secara rasmi daripada pihak Menteri Besar Selangor,” katanya.

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 29 saat, memaparkan tiga individu yang dipercayai menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

BACA JUGA PM baru kononnya muncul tapi ahli pula ceroboh rumah MB