Dr Hafidzah sokong perjuangan penduduk Jalan Atas Paloh

ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menyatakan sokongannya kepada penduduk Jalan Atas Paloh yang ditindas susulan perobohan kediaman mereka semalam.

Beliau dilihat hadir bersama-sama dengan penduduk ketika rumah mereka dirobohkan.

Pada 2013, ketika Allahyarham Tok Guru Nik Aziz menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan, kerajaan negeri pada waktu itu berjanji untuk memberi pampasan kepada penduduk yang berpindah.

Antaranya rumah baru dengan harga RM50,000 berbanding nilai apartmen RM160,000; dan 54 buah keluarga akan menerima sebuah Apartmen yang mempunyai 420 unit.

Dr Hafidzah

Dr Hafidzah tidak menafikan sebahagian daripada penduduk itu iaitu 34 keluarga mendapat penempatan di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berharga RM35,000 lebih purata.

Namun katanya, ramai juga yang tidak mendapat rumah kerana syarat permohonan yang ketat seperti perlu mempunyai slip gaji. 

“Akhirnya projek apartmen tersebut tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan dan mereka terpaksa mengosongkan rumah-rumah mereka untuk dirobohkan. 

“Rumah mereka kena roboh, kerajaan cuma bantu permudahkan mereka beli rumah baru sahaja. Pampasan yang diberi cuma RM1,000. 

“Saya mendengar sendiri dengan tekun kisah sedih Abe Mat dan keluarganya yang telah mendudukinya rumahnya yang kukuh dan penuh sejarah selama puluhan tahun; hari ini rebah disodok menyembam bumi tanpa pampasan yang sewajarnya. Janji tinggal janji,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Pada semalam, Harapan Daily melaporkan, penduduk Jalan Atas Paloh memasang satu papan besar yang tertulis ‘selamat datang kerajaan Kelantan yang zalim’ sebagai bantahan kepada perobohan rumah mereka.

Menerusi rakaman video di Facebook persatuan penduduk, beberapa rumah yang terbina lebih 80 tahun itu dilihat telah dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Dr Hafidzah

Difahamkan, tanah tempat rumah itu dibina adalah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). 

Namun, penduduk mendakwa kerajaan negeri tidak menepati janji untuk menggantikan rumah baharu.

Kerajaan Kelantan melalui anak syarikatnya iaitu PKINK sebelum ini bersetuju memberikan insentif berjumlah RM1,000 kepada ketua keluarga yang bersetuju berpindah iaitu RM500 dibayar sebelum berpindah dan baki RM500 dibayar selepas selesai berpindah.

BACA JUGA Kementerian, jabatan perlu kemuka laporan kemajuan bulanan