Siasatan ceroboh rumah MB: Pemuda Pas dinasihat tidak masuk campur
Pemuda AMANAH menasihatkan agar Pemuda Pas Selangor, Mohd Sukri Omar tidak mencampuri tugas pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung penangkapan tiga individu yang didakwa menceroboh kediaman Menteri Besar Selangor.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al Rashid Haron berkata, kenyataan Mohd Sukri yang mendakwa penangkapan wartawan Harakah yang menceroboh kediaman rasmi MB Selangor bermotif politik dan tindakan zalim, adalah tidak bertanggungjawab.
Katanya, laporan polis dibuat petugas kediaman rasmi MB Selangor sendiri selepas dipercayai tiga individu cuba menceroboh masuk tanpa kebenaran.
“Perlu diingatkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, jika tidak melakukan sebarang kesalahan, tidak perlulah melatah.
“Kenyataan yang dibuat di Facebook itu juga secara tidak langsung menunjukkan Pas menggalakkan orang ramai mempersoal tugas pihak berkuasa dan boleh membiakkan fahaman ekstrimis yang mengganggu gugat keselamatan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sedangkan, kata Danial yang juga ADUN Batu Tiga, melalui laporan polis tersebut, kenderaan yang dinaiki dua lelaki didakwa membawa masuk seorang wartawan Harakah yang pada awalnya dihalang masuk.
Justeru beliau mempersoalkan adakah tindakan menceroboh kediaman rasmi MB ini “dihalalkan” Pemuda Pas.
Danial menambah, Mohd Sukri secara sedar sedang membuka ruang kepada golongan yang menerima tarbiyyah Pas untuk melakukan apa sahaja demi mencapai objektif, termasuklah menceroboh tanpa kebenaran.
“Pemikiran yang jelas bertentangan dengan nilai dan adab menurut agama Islam ini perlu ditentang, tindakan juga perlu diambil bagi mengekang fahaman yang jelas mengelirukan masyarakat,” ujarnya
Media melaporkan, tiga lelaki yang ditahan polis itu dilaporkan telah dibebaskan semalam.
Jurucakap ibu pejabat polis daerah Shah Alam berkata, permohonan polis untuk melanjutkan tahanan reman ditolak.
Bagaimanapun, jurucakap itu berkata siasatan telah selesai.
BACA JUGA Sufi Kamari, wartawan Harakah Daily dibebaskan malam tadi