‘Bukan kita pandai-pandai buat’ – Tempoh daftar PADU boleh dilanjutkan

Rafizi Ramli berkata, tempoh tiga bulan yang ditetapkan bagi pendaftaran dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) masih boleh dilanjutkan.

Menteri Ekonomi berkenaan memaklumkan lanjutan pendaftaran itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan usaha kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

Menurutnya, hal ini memandangkan kerajaan sudah mempunyai data sebelum ini, selain mustahil untuk semua individu berusia 18 tahun daripada keseluruhan 30 juta rakyat Malaysia mendaftar dalam tempoh ditetapkan itu.

“Kita tidak mempunyai pilihan atau menetapkan tempoh tiga bulan itu secara suka-suka. Kita memang kena mula dan mempersiapkan data supaya kerajaan dapat melakukan penyasaran subisidi dengan lebih berkesan.

“Bukan kita pandai-pandai buat, apatah lagi data untuk penduduk seramai 30 juta dengan sembilan juta isi rumah,” ujarnya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian menerusi Podcast Yang Bakar Menteri (YBM) bersama Nazri Hamdan di platform X, Facebook dan YouTubenya, malam tadi.

Beliau juga mengulangi bahawa PADU mengelak rakyat daripada tercicir menikmati program subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan kelak.

“Kita lakukan supaya boleh berlaku adil kepada semua kelompok, selain dapat memastikan isi rumah yang patut mendapatkan bantuan, mereka tidak keciciran data hanya kerana tidak bekerja dalam sektor formal,” katanya.

PADU adalah pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dari tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

Dalam masa sama, Rafizi berharap orang ramai tidak lewat mendaftar PADU dan menyarankan anak-anak membantu ibu bapa atau jiran membantu jiran supaya tidak berlaku keciciran pendaftaran PADU.

“Data ini penting untuk kita menyalurkan bantuan kepada mereka yang sangat memerlukan, terlantar kerana masalah kesihatan, dan ini adalah usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Pada tahun lalu, kadar kemiskinan tegar mencatat penurunan kepada 0.2 peratus atau hanya 18,445 isi rumah.

“Kita mahu negara capai sifar kemiskinan, dan usaha mengeluarkan sejumlah isi rumah daripada miskin terus dilaksanakan secara berterusan,” kata Rafizi lagi.

BACA JUGA 9 persoalan berkaitan PADU