Dr Ng satu-satunya AJK Cina, akui tertarik pada kesederhanaan AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional buat pertama kalinya melantik anggota Cina, Dr Ng Rui Wei dalam barisan kepimpinannya.

Dr Ng, 36, merupakan Ahli Jawatankuasa pemuda AMANAH Nasional dan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Biro Ekonomi dan Perdagangan.

Ketika dihubungi, graduan lulusan doktor falsafah (PhD) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, ini merupakan kali pertama beliau menyertai parti politik selepas dijemput Ketua Pemudanya, Hasbie Muda ke dalam sayap parti itu.

Beliau juga mengakui sudah lama tertarik dengan AMANAH kerana imejnya yang dianggap sangat sederhana dan tidak ekstremis.

“Sebenarnya sudah lama saya tertarik dengan Parti AMANAH Negara yang rahmah imejnya, tidak ekstremis atau bermain dengan isu-isu perkauman walaupun pucuk pimpinan dan ahlinya Muslim.

“Bagi saya, parti sebegini sangat perlu disokong,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Sebelum ini Dr Ng turut melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah Sarjana Antarabangsa dalam Perusahaan Kecil & Sederhana di Universiti Malaya.

Berasal dari Muar, Dr Ng memberitahu bahawa beliau baru sahaja menyertai parti AMANAH pada tahun ini juga.

“Saya baharu saja menyertai Pemuda AMANAH tahun ini, atas jemputan saudara Hasbie (senior saya semasa di Universiti Malaya).

“Sebelum ini belum pernah lagi berjaya menyertai mana-mana parti. Saya amat berbesar hati dengan perlantikan ini, dan berharap penyertaan saya mampu membantu Pemuda AMANAH,” katanya.

Begitupun kata Dr Ng, buat masa sekarang pemuda AMANAH masih lagi dalam proses pembentukan pasukan dan iltizamnya untuk memberi fokus kepada peningkatan pengetahuan dan perkembangan tentang isu-isu ekonomi dalam kalangan pemuda AMANAH.

BACA JUGA Senarai penuh barisan kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional 2023-20236

Â