Isteri dakwa Daim dianiaya hanya kerana kaya

Isteri kepada Tun Daim Zainuddin mendakwa siasatan berkaitan rasuah yang dibuat terhadap suaminya hanya kerana kejayaannya sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan.

Isteri Daim, Naimah Khalid berkata, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi sedang dijalankan bagi memberi gambaran bahawa suaminya seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.

Namun menurutnya, suaminya itu adalah seorang ahli perniagaan berjaya dan menjadi hartawan sebelum menganggotai Kabinet pada 1984.

“Suami saya dianiayai disebabkan kejayaan itu, kejayaannya kini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan mengamalkan demokrasi, tidak menjadi kesalahan untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan industri sehingga mengecap kejayaan, malah ia menguntungkan negara melalui pembangunan membina ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Terdahulu, Naimah bersama dua anaknya Muhammed Amin serta Muhammed Amir tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 10.10 pagi untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan rasuah terhadap suaminya.

Naimah mendakwa, Perdana Menteri sedang menggunakan jawatannya untuk mencemar nama baik individu melalui tuduhan salah laku ataupun digunakan untuk menyelesaikan pertelingkahan politik lampau.

Dakwanya, walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menyukai Daim, beliau seharusnya menghormati prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah

“Inilah yang dilakukan perdana menteri yang beberapa kali kebelakangan ini mendakwa suami saya memiliki kekayaan haram tanpa memberikan sedikit pun bukti.

“Adakah perdana menteri mencadangkan ahli perniagaan Melayu yang berusaha keras dan berkebolehan tidak boleh menjadi kaya tanpa menggunakan jalan tidak sah atau haram?,” kata Naimah lagi.

Siasatan terhadap Daim itu dipercayai berkait sitaan bangunan Menara Ilham milik keluarga Daim oleh SPRM pada Disember lalu.

Menara Ilham difahamkan mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cendera mata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

BACA JUGA Isteri, 2 anak Tun Daim beri keterangan SPRM hari ini