Mujahid bahasakan Dewan Ulama Pas, jangan jadi pak sanggup bela Sanusi

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegur Dewan Ulama Pas supaya tidak menjadi pak sanggup untuk membela dan menghalalkan perbuatan pengarah pilihanraya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, Sanusi perlu menjelaskan sendiri adakah tindakannya berkaraoke pada pukul 2 pagi itu adalah satu pendekatan dakwah atau hanya untuk melebarkan pengaruh politiknya kepada orang ramai.

Beliau juga bertanya adakah berkaraoke dengan wanita-wanita ajnabi boleh menarik lebih ramai untuk mengenali Islam.

“Jadi maknanya, dakwah (Sanusi) ini ialah berkaraoke dengan seorang wanita pada pukul 2 pagi, supaya orang tengok ‘oh ini parti Islam’.

“Beginilah… dakwah itu betul ke dirancang sebegitu rupa (berkaraoke) sebagai strategi mendekatkan orang dengan Islam atau sekadar meluaskan pengaruh politik Pas.

“Janganlah Dewan Ulama Pas jadi pak sanggup. Orang buat yang tak elok, kamu buat nampak elok. Kalau dia memang dirancang, kenalah buat betul-betul perancangan itu. Pastikan dakwah itu sampai iaitu dakwah Islam. Bukan dakwah Pas,” katanya ketika ditemubual Harapan Daily secara eksklusif hari ini di ibu pejabat partinya.

Semalam, tular video ceramah Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mengaitkan perlakuan Muhammad Saunsi dengan salah satu pendekatan dakwah.

Khurafat

Datuk Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dalam ceramahnya yang tular berkata, terdapat golongan yang didekati melalui kuliah-kuliah ilmu tetapi ada yang di padang bola, stadium serta ruang-ruang di media sosial.

Beliau memetik nama Muhammad Sanusi, menganggap tindakan Menteri Besar Kedah itu mungkin sebagai salah satu dakwah.

Sanusi sebelum ini teruk dikecam gara-gara berkaraoke dengan wanita-wanita ajnabi yang dianggap boleh mencemarkan imejnya selaku Menteri Besar dan pemimpin parti Islam.

Pada masa sama, Mujahid yang juga Senator Dewan Negara menempelak DUPP yang seolah-olah menyampaikan mesej bahawa apabila orang mengenali Sanusi, maka mereka mengenali Islam.

Mujahid dengan tegas mengatakan ia adalah khurafat.

“Mentaliti Dewan Ulama Pas seolah menganggap bila orang kenal Pas dengan cara macam mana sekalipun, itu bermakna dia akan kenal Islam. Itu sampah.

“Mengenal Pas bukan bermaksud mengenal Islam. Ini khurafat besar yang Dewan Ulama Pas cuba beritahu, kononnya orang kenal Sanusi dalam karaoke maka orang akan kenal Islam .

“Kata kat dia, Mujahid kata khurafat!,” ujarnya lagi.

BACA JUGA ‘Pembangkang tak pandai beri cadangan menambah baik’