Dusuki masih ‘hilangkan diri’, tak bayar lagi hutang RM23,000

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani seolah menghilangkan diri apabila masih belum melangsaikan hutangnya sebanyak RM23,000 kepada Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa biarpun sudah empat bulan dituntut berbuat demikian.

Hutang RM23,000 itu adalah kos keseluruhan yang perlu dibayar Ahmad Dusuki selepas kalah dalam saman fitnah berhubung isu Tabung Haji. 

Bayaran itu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan. 

Mujahid yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, disebabkan penceramah itu gagal membayar hutang selepas surat amaran diserahkan, peguamnya telah memfailkan Saman Penghutang Penghakiman di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam – bagi maksud membolehkan aset Dusuki disita.

Dusuki

Bagaimanapun dakwanya, surat tuntutan pemiutang itu gagal diserahkan kepada Ahmad Dusuki selepas dia beberapa kali memungkiri janji untuk bertemu dengan pihak peguam – sedangkan tarikh pertemuan sudah dipersetujui lebih awal.

“Sampai saat ini, saya punya peguam tak dapat bagi dekat dia secara serahan tangan. Dah berapa kali buat temujanji, (Dusuki kata) dia akan ada untuk terima. Tapi bila pergi ke lokasi dijanjikan, dia tiada.

“Bila dia tak terima, nak sita barang dia pun tak boleh. Sebab dia kena terima melalui serahan tangan.

“Tak banyak pun RM23,000 itu. Tapi nak ajar dia tu. Dia duk mengajar orang hutang ini akan tergantung kalau mati. Jadi saya nak ajar dia lah, kau tu hutang aku. Hutang tu bukan aku minta, mahkmah yang suruh bayar,” katanya ketika ditemubual Harapan Daily semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan saman fitnah antara beliau dengan Ahmad Dusuki.

Ahmad Dusuki sebelum ini memfailkan saman ekoran ciapan Mujahid pada 22 November 2020 berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Pada 14 September 2020, Mahkamah Sesyen menolak saman fitnah difailkan Ahmad Dusuki dengan kos RM11,000, selepas mendapati ciapan X Mujahid tidak berbentuk fitnah kerana semasa perbicaraan, terbukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.

Ahmad Dusuki kemudian membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Tinggi juga menolak rayuannya untuk mencabar keputusan Mahkamah Sesyen. Beliau diperintah membayar kos RM7,000.

Pada 29 Ogos tahun lalu, Ahmad Dusuki menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi. Beliau diarah membayar kos sebanyak RM5,000.

Dusuki

Kes antara Ahmad Dusuki dengan Mujahid sudah selesai sejak 29 Ogos lalu, namun penceramah Pas itu dilihat terus-terusan menambah ketegangan apabila menjaja fitnah berkaitan Tabung Haji.

Mujahid sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan agar Ahmad Dusuki berhenti menjaja fitnah dan menghormati keputusan mahkamah bahawa aset TH tidak pernah dijual kepada orang bukan Islam.

Kedegilan ahli Pas itu yang berterusan memfitnah bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu menyebabkan saman RM1 juta kemudian difailkan terhadap Ahmad Dusuki.

Pemerhatian Harapan Daily bagaimanapun mendapati penceramah itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan memfitnah selepas Mujahid menghantar surat LOD kepadanya.

Tindakan paling memalukan terhadap Dusuki

Sementara itu Mujahid berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah yang bakal memalukan Ahmad Dusuki iaitu dengan mendapatkan perintah dari Hakim untuk memanggil Ahmad Dusuki ke mahkamah – supaya melangsaikan hutang berjumlah RM23,000.

Kata beliau, Hakim telah pun memanggil Ahmad Dusuki untuk hadir ke mahkamah pada 10 Januari (kelmarin), namun peguam Ahmad Dusuki pula tidak hadir.

“Langkah terakhir ini paling malulah. Kamu dah ada surat suruh bayar tapi kamu tak bayar. Kamu dipanggil Hakim untuk itu sahaja. Bukan dipanggil untuk tengok kes itu balik. Hakim panggil ini untuk tanya kenapa tak bayar. Hakim akan tetapkan tempoh terakhir untuk dia bayar.

“Semalam sepatutnya dia hadir ke mahkamah, tapi kali ini bukan dia tak hadir. Kali ini peguam dia pula tak hadir, bagi surat dekat Hakim kena pergi hospital.

“Kemudian Hakim tetapkan 9 Februari, panggil dan minta selesaikan hutang itu di hadapan Hakim. Hakim akan beri masa. Kalau tak bayar juga, dia mengingkari perintah mahkamah,” katanya lagi.

BACA JUGA Mujahid bahasakan Dewan Ulama Pas, jangan jadi pak sanggup bela Sanusi