Najib sendiri tidak tahu bila prosiding pengampunan, peguam terkejut laporan CNA
Peguam Datuk Seri Najib Razak menafikan sebuah laporan antarabangsa yang mendakwa ‘Lembaga Pengampunan dijadual membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini’.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam satu kenyataan akhbar berkata, Najib sendiri tidak mengetahui tentang perbincangan mengenai permohonan pengampunannya, apa lagi aktiviti Lembaga Pengampunan diketahui memang dijalankan secara rahsia di peringkat tertinggi.
Beliau juga tidak mengetahui identiti sumber yang digunakan portal berita, Channel News Asia (CNA).
“Kami sebagai peguam kepada Datuk Seri Najib yang terlibat dalam petisyen untuk pengampunannya tidak pernah dimaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil Lembaga Pengampunan (jika ada) berkaitan petisyen anak guam kami untuk pengampunan.
“Oleh itu, kami terperanjat bagaimana CNA telah membuat spekulasi berita tidak berasas ini.
“Kami tidak tahu siapa sumber yang tidak dinamakan CNA dan Leslie Lopez untuk mensensasikan cerita sedemikian sehingga menyibukkan orang ramai dan akhbar lain pagi ini.
“Ia mungkin memberi gambaran jika kita boleh mengatakan dengan jelas bahawa Datuk Seri Najib sendiri tidak tahu menahu dengan dakwaan CNA,” katanya.
Portal berita CNA dilapor membuat spekulasi berita bertajuk ‘Malaysia set to decide on jailed former PM Najib’s high-stakes bid for royal pardon’ oleh Leslie Lopez.
Menurut laporan itu, permohonan oleh bekas Perdana Menteri yang sedang dipenjarakan akan didengar dalam sesi lembaga yang dijadualkan pada minggu ketiga Januari.
Ia selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat bulan lalu kerana lembaga enam anggota memutuskan bahawa mereka memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan.
Sementara itu Shafee berkata, adalah tidak hormat apabila ada pihak-pihak yang meneka aktiviti Lembaga Pengampunan, yang sifat kerjanya mesti dijalankan secara rahsia supaya ia berkesan dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pelanggaran kerahsiaan itu katanya boleh melanggar Akta Rahsia Rasmi, 1972 dengan pelbagai hukuman yang ditetapkan di dalamnya.
Peguam itu menambah, menjadi suatu yang janggal apabila penulis CNA menyatakan, Lembaga Pengampunan bermesyuarat pada Disember tahun lalu, tetapi ditangguhkan ke bulan ini (Januari) untuk bersidang semula.
Kata beliau, petisyen pengampunan Najib telah diserahkan kepada Lembaga Pengampunan melalui Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Putrajaya pada 1 Januari 2022.
Ia diikuti adendum atau penambahan pada 18 Oktober 2022 dan 20 April 2023 yang mengandungi maklumat lanjut untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong berhubung petisyen pengampunan berkenaan.
Bagaimanapun sehingga hampir penghujung tahun lalu, pihak pembelaan Najib tidak menerima sebarang berita berhubung petisyen berkenaan.
Najib kemudiannya mengarahkan pihak peguam supaya mengingatkan BHEUU pada 4 Disember tahun lalu, sedangkan petisyen itu telah difailkan lebih 16 bulan malah pemimpin berusia 71 tahun itu telah dipenjarakan selama setahun dan empat bulan.
“Selaku peguam, kami lebih bimbang dengan kedudukan anak guam, memandangkan satu-satunya alasan untuk memohon pengampunan adalah atas dasar bahawa beliau tidak pernah menerima perbicaraan yang adil,” katanya.
“Mengambil kira hal itu, ia adalah jelas bahawa setakat Disember lalu, anak guam kami dan kami berada dalam ‘kegelapan’ tentang perkembangan petisyen untuk pengampunan anak guam kami.
“Kami bingung tentang bagaimana CNA melalui wartawan mereka dapat memberikan berita yang menakjubkan dalam artikel mereka yang berkaitan dengan status petisyen pengampunan anak guam kami,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Isu air UMS selesai selepas menteri turun, pelajar gembira dah boleh mandi