Duduk flat selera kondo, DBKL arah penghuni cabut jeriji halang laluan

Tindakan pemilik sebuah rumah di Flat Wangsa Maju yang memasang pagar jeriji sehingga menghalang laluan pejalan kaki menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk.

Berdasarkan perkongsian netizen di Facebook, penduduk meluahkan kemarahan dengan menconteng dinding berhampiran, meminta pelaku untuk mencabut struktur tambahan itu.

Malah perkongsian itu turut menarik perhatian ramai yang melabel pelaku bersikap pentingkan diri selain sindiran duduk di flat tetapi selera seperti tinggal di kondominium.

Susulan tular gambar tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pengurusan Flat Wangsa Maju Seksyen 2 mengambil tindakan berhubung aduan pemasangan pintu jeriji yang menghalang laluan pejalan kaki.

DBKL menerusi kenyataan berkata, surat arahan tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan DBKL melalui Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL) pada Selasa.

“COBKL telah mengeluarkan surat kepada pengurusan kediaman supaya mengambil tindakan kepada pemilik petak agar mengembalikan semula pengubahsuaian itu kepada bentuk asal,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu menjelaskan, penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa pihak pengurusan bangunan selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Di bawah seksyen 59 (1) Akta 757 telah menyatakan bahawa kewajipan pengurusan adalah menyenggara dan mengurus dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama, dan menjaganya dalam keadaan yang baik, ” kata kenyataan itu seperti dilaporkan Sinar Harian.

BACA JUGA Tinjauan ekonomi rakyat Wan Fayhsal serupa macam merayap di Kuala Lumpur sahaja