Gelar agensi kerajaan ‘barua’, Saifuddin beri peringatan keras pada Sanusi
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan tentang adab dan tidak menggunakan perkataan kurang sopan sehingga melabel agensi kerajaan dengan perkataan ‘barua’.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Sanusi sebagai pemimpin perlu berhati-hati apabila mengungkapkan perkataan kerana ia sangat penting dalam memberi contoh yang baik kepada rakyat.
“Saya sebenarnya cuba menjarakkan diri (tidak mahu membuat kenyataan tentang ini). Proses pilihan raya sudah selesai, rakyat sudah buat keputusan, saya Muslim (beragama Islam). Agama mengajar saya akhlak, adab, akidah dan syariat.
“Jadi pilihan untuk berkata-kata ini saya fikir biar kita hati-hati. Perkataan-perkataan yang seumpama itu (barua) atau yang sebelumnya biarlah kita elakkan,” katanya dalam sidang media semalam selepas meninjau Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, Muhammad Sanusi juga perlu menjaga percakapannya untuk memastikan tiada ketegangan dalam hubungan antara kerajaan negeri dan agensi berkenaan.
“(Selain itu) dia tak memberikan gambaran bahawa seorang pemimpin itu harus menunjukkan sikap yang lebih cantik kepada rakyat, itu lebih kondusif saya fikir,” katanya.
Sementara itu, menyentuh kenyataan penulis blog kontroversi Raja Petra Raja Kamarudin, beliau menyifatkan individu berkenaan sudah tidak mempunyai wibawa atau kredibiliti untuk diberi sebarang ulasan
BACA JUGA GRS tak goyah dengan kerjasama Umno – Warisan