GRS tak goyah dengan kerjasama Umno – Warisan

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Datuk Seri Hajiji Noor tidak goyah dengan kemungkinan Umno Sabah bekerjasama dengan Warisan.

Keyakinan beliau adalah bersandarkan keutuhan kerajaannya dalam mematahkan usaha “menggoncang” pentadbiran negeri oleh pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebelum ini.

“Rakyat memberi keyakinan dan sokongan kepada kita. Rakyat mahu maju dan kestabilan politik,” katanya yang juga ketua menteri Sabah, lapor FMT.

“Bagi saya sama ada dua parti berkenaan mahu bergabung itu hal mereka. GRS mempunyai tanggungjawab yang diberi mandat rakyat mentadbir sehingga tempoh tamat,” katanya.

GRS mentadbir Sabah sejak 2020 dengan kerjasama BN, PH dan beberapa parti lain.

Pada minggu lalu presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan bahawa partinya belum membincangkan kerjasama dalam konteks pilihan raya negeri Sabah.

Zahid turut menyatakan bahawa Umno Sabah mempunyai autonomi untuk memutuskan perkara tersebut.

Pada tahun lalu, Bung telah mengumumkan penarikan sokongan Umno Sabah kepada Hajiji. Bung telah disokong oleh Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.

Warisan ialah pembangkang di Sabah.

Walau bagaimanapun enam Adun dari Umno telah bertindak menyokong Hajiji dan menggagalkan percubaan ini.

Beliau merasakan usaha penarikan sokongan berlaku mungkin kerana beliau tidak memenuhi kemahuan setiap pemimpin parti.

“Saya tidak boleh buat begitu sebagai ketua menteri, sebab itu mungkin ada tidak puas hati kerana pendekatan kita yang mengutamakan rakyat atau ikut peraturan,” katanya.

Hajiji sebaliknya yakin kerjasama GRS-PH di dalam pilihan raya negeri akan berjaya mengekalkan pentadbirannya .

Pilihan raya negeri Sabah paling lewat perlu diadakan pada tahun depan.

BACA JUGA: Hajiji: Langkah Dubai? Utamakan kepentingan negara