Hajiji: Langkah Dubai? Utamakan kepentingan negara

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mahu semua pemimpin parti blok kerajaan mengutamakan kepentingan negara dan bukannya kepentingan peribadi.

“Kita jangan utamakan politik dan kepentingan peribadi.

“Kita utamakan kepentingan negara dulu,” katanya yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika mengulangi pendirian menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nampak beliau mempunyai dasar baik untuk masa depan Malaysia, dasar boleh membangunkan negara di masa akan datang,” tambahnya lagi, lapor FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas percubaan mengubah kerajaan yang dikenali dengan nama Langkah Dubai.

Pada bulan lalu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop mendakwa wujud “Langkah Dubai” yang membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan daripada blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ismail mendakwa pertemuan itu bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Hajiji turut mengulas dakwaan pengarah pilihan raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pembangkang mempunyai akuan bekanun (SD) mencukupi untuk mengambil alih Putrajaya.

“Dakwaan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana sokongan kerajaan perpaduan sekarang lebih daripada 150 termasuk daripada PN,” kata Hajiji.

Hakikatnya, sebarang penukaran kerajaan tidak akan menjadi kenyataan tanpa dokongan blok Borneo iaitu GRS di Sabah dan GPS di Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg sudahpun menyatakan sokongan padu GPS untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.