Mahasiswa menang MPP UMS selepas kempen beri deodoran percuma

Kempen seorang mahasiswa untuk mengagihkan deodoran percuma jika diangkat sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), berjaya meraih sokongan sehingga mengalahkan lima calon lain yang turut menjadi pesaingnya.

Siti Nur Asyerra Wasli merupakan pelajar jurusan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dan bertanding bagi kerusi calon 06 untuk merebut tempat selaku MPP di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi 2023/2024.

Menjanjikan pengagihan ubat ketiak bagi pelajar yang mempunyai masalah bau badan sekiranya memenangi pilihan raya tersebut, manifesto tersebut meraih pujian ramai susulan kelainan dan elemen ‘sindiran’ yang dimainkan.

Asyerra atau lebih dikenali sebagai Ara dikatakan antara calon terbaik untuk dilantik sebagai pemimpin baharu di universiti terbabit.

Manifesto berkaitan pengagihan deodoran itu nyata mendapat pelbagai komen positif di laman media dan ia dipercayai berkait rapat dengan isu bekalan air yang berlaku di UMS baru-baru ini.

Pengguna Facebook, Sufyan Hadiyanto Dimanto memuji kebijaksanaan gadis berbangsa Dusun itu dalam membangkitkan isu deodoran dalam kalangan pelajar di samping masalah air yang membelenggu penuntut di universiti terbabit.

“Manifesto dia macam lucu, tapi bagi impak besar untuk golongan yang berkenaan,” ujar Joe Alonzo.

“Saya sokong, daripada janji kasi selesai masalah air yang tidak berkesudahan, baik selesaikan isu bau ketiak kerana ramai yang ada masalah ini tetapi tidak sedar,” tambah Oyo Vianney Chelsca.

Sementara itu, seorang alumni dari universiti tersebut, Jeffery Jim turut memuji dan mencadangkan agar mahasiswa terbabit diberikan sokongan atas kebijaksanaannya dalam menyenaraikan manifesto yang menurutnya, sangat bijak dan berkaliber.

“Sebagai alumni UMS yang menamatkan kedua-dua ijazah sarjana di FPEP dan Fakulti Sains Sumber Asli (FSSA), saya memberikan sokongan penuh kepada calon ini. Kedalaman sindirannya selari dengan kemampuannya ketika berdepan dengan isu air yang melanda universiti.

“Memandangkan saya mengenali Timbalan Naib Canselor secara peribadi, berharap agar beliau akan menghargai calon yang berkaliber ini. Megah. Perfecto! Saya sokong,” katanya.

Walaupun sebelum ini terdapat kecaman daripada netizen, namun manifesto tersebut diterima apabila dia meraih kemenangan untuk menjadi MPP universiti itu.

Menerusi pemilik akaun @brgsjks berkata, mahasiswa berkenaan telah berjaya memenangi pilihan raya tersebut dengan manifesto yang berbeza daripada calon lain.

“Tahniah semua akak ‘ketiak’ menang.

“Saya setuju dengan manifesto yang dibuat. Masalah ini berat. Masalah pencemaran udara,” katanya dalam hantaran di X.

BACA JUGA GRS tak goyah dengan kerjasama Umno – Warisan