MAIS beri jaminan wang zakat tidak akan seleweng walau 1 sen

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi jaminan tidak akan berlaku lagi penyelewengan wang zakat walaupun 1 sen pada masa akan datang.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi amaran agar kes sedemikian tidak dilakukan dalam institusi agama Selangor kerana penyumbang perlu diberikan keyakinan bahawa wang zakat mereka diuruskan dengan baik tanpa penyelewengan.

“Dalam laporan media, ada wang zakat sebuah Majlis Agama Islam Negeri diselewengkan dalam jumlah besar dan termasuk juga (kes) Selangor tetapi tidak banyak.

“Kita tidak mahu perkara itu berulang, kita ambil tindakan kepada sesiapa terbabit dan memberi ingatan supaya perbuatan itu jangan diulang lagi dalam institusi agama Islam Selangor.

“Kita sudah membuat tindakan susulan dengan membuat laporan polis dan sebagainya supaya perkara itu tidak berulang,” katanya memetik Berita Harian hari ini.

wang zakat

Bukit Aman sebelum ini mengesahkan polis sedang menyiasat empat kes pecah amanah berkait kutipan zakat masing-masing dua kes di Selangor, satu kes di Terengganu dan satu kes di Perak berjumlah RM9.7 juta.

Pada 4 Januari lalu, penyelewengan yang didakwa dilakukan sepasang suami isteri yang berperanan sebagai ejen kutipan zakat secara dalam talian untuk MAIPk, didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Polis sehingga kini masih meneruskan siasatan kes suami isteri itu biarpun mereka sudah dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah, pada 15 Januari lalu.

Sementara itu Abdul Aziz berkata, agensi di bawah MAIS perlu sentiasa mempunyai integriti yang tinggi kerana agensi itu banyak menerima sumbangan daripada orang ramai.

“Kadang-kadang, sumbangan itu berbentuk tunai, jika kita tidak amanah mungkin kita hilang pertimbangan dan kita guna wang itu sama ada sepenuhnya atau sebahagian untuk kepentingan diri.

“Walaupun satu sen duit itu untuk MAIS, sama ada sedekah, bayar zakat kepada anak yatim, kita akaunkan dengan betul dan tidak diselewengkan,” katanya seperti dipetik.

BACA JUGA Bukan sahaja KL dibersihkan, Dr Zaliha juga hidupkan semula Majlis Menteri Wilayah

Â