Pemuda AMANAH kutuk serangan US-UK ke atas Yaman

Pemuda AMANAH mengutuk serangan yang dilancarkanAmerika Syarikat (US) dan United Kingdom (UK) terhadap Yaman yang dianggap sebagai melanggar kedaulatan negara dan memperburuk keadaan kemanusiaan di sana.

Ketua Pemudanya, Hasbie Muda berkata, motif serangan itu dilihat berkait rapat dengan kepentingan geopolitik, sumber daya, dan konflik antara rakyat Palestin dan negara haram Israel yang melibatkan pihak-pihak terkait.

“Pemuda AMANAH menegaskan bahawa keutamaan sekarang adalah segera melaksanakan gencatan senjata dari pihak Israel yang masih meneruskan pembunuhan di bumi Gaza, bukannya negara kuasa besar melebarkan perang yang turut akan merugikan rakyat US dan UK,” katanya dalam satu kenyataan.

pemuda amanah

Pada masa sama, Pemuda AMANAH menyeru agar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengambil peranan lebih aktif dalam menangani krisis ini, serta memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat di Yaman diutamakan.

“Cukuplah 24000 rakyat Palestin dibunuh dengan restu Amarika Syarikat, usah ditambah luka umat Islam dengan melebar pembunuhan dilebih banyak negara Islam.

“Pemuda AMANAH juga mengajak komuniti antarabangsa dan badan-badan hak asasi manusia untuk menyelidiki secara menyeluruh kesan serangan ini terhadap rakyat Yaman dan mengambil langkah-langkah kemanusiaan yang diperlukan,” ujarnya.

Terdahulu dilaporkan, Amerika Syarikat dan Britain menyerang puak Houthi selepas kumpulan disokong Iran itu terus menyerang laluan perkapalan di Laut Merah.

Houthi yang menguasai sebahagian besar pantai Laut Merah Yaman telah menyerang kapal-kapal komersial di kawasan yang dikaitkan dengan Israel atau menuju ke pelabuhan Israel.

Media AS melaporkan bahawa saksi melihat serangan udara di bandar Yaman yang membabitkan jet pejuang dan peluru berpandu Tomahawk.

Semalam, pasukan pejuang Houthi di Yaman dilapor menyerang balas kapal kontena dikendalikan AS menggunakan peluru berpandu balistik anti-kapal di Teluk Aden.

BACA JUGA Kontroversi Mentega Terbang: Penerbit, pengarah filem didakwa hari ini