Prestasi pembangkang hambar, kerajaan pula dilihat lebih baik

Prestasi Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin hambar dan tidak memberangsangkan lebih-lebih lagi apabila pembangkang tidak berusaha mempertahankan kaum bukan Islam di negara ini ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa mereka tidak setia.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, tindakan berkenaan menjadikan komponen parti kerajaan, Pakatan harapan (PH) dilihat jauh lebih baik.

“Prestasi hambar kumpulan pembangkang iaitu PN membuatkan PH nampak lebih baik.

“Apabila Tun Mahathir bercakap tentang kekurangan kesetiaan kaum India (yang mengarut), tiada pemimpin PN mempertahankan kumpulan itu,” katanya di aplikasi X.

Sebelum ini, Mahathir dilapor mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana terikat dengan negara asal mereka.

Pandangan itu disuarakan beliau dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Zaid berkata, jika Pas adalah parti moden, mereka sebarusnya mengatakan bahawa politik Malaysia perlu menjauhi sentimen perkauman dan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting.

Kata beliau, ketua pembangkang sepatutnya mengambil peluang untuk menjenamakan semula dan mengutarakan idea-idea baru untuk negara yang semakin autoritarian.

“Sebagai contoh, wakil rakyat itu harus menangani sistem cukai kuno dan keadaan negeri yang mempunyai sistem pendidikan lemah di sekolah yang mana kanak-kanak tidak akan lagi diuji.

“Ada yang tidak boleh membaca atau menulis, malah ada beratus-ratus perkara salah di negara ini dan banyak perkara yang perlu dilakukan selain membuat laporan polis serta bercakap mengenai Langkah Dubai.

“Kita tidak ada pembangkang yang efektif,” ujarnya.

BACA JUGA Kes Sanusi patut dibicara hari ini tapi… – Apa kata Timbalan Pendakwa Raya?