Tubuhkan cawangan di setiap PDM, kuatkan akar umbi
Anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) di setiap kawasan perlu menyahut hasrat pimpinan parti agar menubuhkan cawangan di setiap pusat daerah mengundi (PDM).
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, penubuhan itu bertujuan menguatkan parti di peringkat akar umbi, selain menjadi persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
“Dalam amanat, saya menekankan pentingnya untuk setiap organisasi parti di peringkat kawasan meningkatkan kekuatan parti dengan penambahan cawangan dan ahli.
“Di samping itu, saya turut mengingatkan ahli AMANAH untuk mengukuhkan perpaduan parti dan bersama rakan komponen Pakatan Harapan (PH) serta Kerajaan Perpaduan dalam usaha menumpukan gerak kerja bagi menghadapi PRU.
“Sebagai parti yang progresif, pimpinan di peringkat kawasan dan cawangan perlu sentiasa responsif dengan isu dan masalah yang dihadapi rakyat pelbagai kaum,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya.
Malam tadi, Faiz mengadakan lawatan ke Pasir Salak yang merupakan siri pertama beliau bersama-sama dengan akar umbi parti yang berteraskan kepada nilai rahmatan lil ‘alamin itu.
Dalam siri lawatan itu, Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menzahirkan rasa kagum dengan semangat ditunjukkan AMANAH kawasan Pasir Salak yang terus aktif selepas tamat konvensyen parti pada 24 Disember tahun lalu.
“Semalam saya menerima tujuh pembukaan cawangan penaja AMANAH di kawasan Pasir Salak yang menjadikan jumlah cawangan setakat ini adalah sebanyak 18 cawangan,” ujar beliau lagi.
Pengukuhan parti di semua peringkat termasuk cawangan juga sebahagian strategi AMANAH untuk menandingi Pas dalam jangka panjang.
Â