McDonald’s di Langkawi tutup selepas 25 tahun beroperasi, semua gara-gara boikot?

McDonald’s Malaysia antara salah satu jenama global yang terkesan ekoran daripada boikot besar-besaran rakyat Malaysia.

Walaupun tidak dapat disahkan, namun beberapa hari lalu tular beberapa keping gambar menunjukkan sebuah restoran McDonald’s di pusat beli belah Langkawi Fair didakwa telah ditutup.

Menurut perkongsian di Facebook Langkawi kini, restoran itu ditutup selepas 25 tahun beroperasi.

McDonald's

Diandaikan bahawa alasan penutupan itu adalah kerana boikot yang berterusan. 

Di ruangan komen hantaran itu, ramai yang gembira, menganggap usaha boikot mereka berhasil.

Bagaimanapun di aplikasi X pula, warganet menunjukkan reaksi berbeza terhadap isu penutupan restoran berkenaan.

Mereka ada yang menyatakan kebimbangan terhadap nasib pekerja-pekerja Melayu yang kini menganggur.

Ada juga yang membuat spekulasi bahawa penutupan itu tidak semestinya disebabkan boikot tetapi kerana pusat beli-belah itu sendiri tidak berapa ‘laku’ sejak kebelakangan ini.

Selain itu, mereka mengatakan ekonomi negara tidak akan lumpuh hanya disebabkan restoran makanan segera itu ditutup kerana ekonomi bergantung pada kuasa pembeli yang akan beralih kepada jenama lain.

“Ekonomi tetap berjalan walaupun McD tutup sebab ekonomi digerakkan oleh pengguna. Orang ramai akan beralih kepada jenama lain untuk membelanjakan duit mereka, pekerja pula boleh mohon kerja di tempat lain dan masih lagi dapat gaji untuk belanjakan wang mereka,” kata salah seorang pengguna X.

McDonald’s Malaysia sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa tindakan McDonald’s Israel menyokong rejim Zionis adalah tindakan persendirian dan tidak mencerminkan nilai atau amalan syarikat McDonald’s Malaysia.

McDonald’s Malaysia berkata, keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global.

Begitupun, penjelasan dibuat tidak menerima sambutan positif dari sebahagian rakyat Malaysia yang memilih untuk terus memboikot restoran itu.

BACA JUGA Pelik ada yang marah Perdana Menteri sebab siasat ‘Tun-Tun’