Tunggang isu ‘rider’ mogok, Wan Fayhsal dinasihat jangan bodohkan umat

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diingatkan supaya tidak terus ‘memperbodohkan’ orang awam dengan mendakwa syarikat GrabTaxi Holdings berada di bawah Kementerian Kewangan (MoF).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, Wan Fayhsal sepatutnya memantau program peningkatan kemahiran (upskilling) yang dijanjikan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024.

Anwar sebelum ini telah pun menyatakan komitmen meningkatkan peruntukan bagi latihan peningkatan kemahiran kepada golongan penghantar p-hailing dengan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion dalam Belanjawan 2024.

Peningkatan itu ketara berbanding RM1 bilion semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Daripada Wan Fayhsal terus memperbodohkan umat dengan dakwaan Grab-MOF, ada baiknya mereka pantau keberkesanan latihan ‘upskilling’ yang Datuk Seri Anwar Ibrahim janjikan. 

“Peruntukan latihan untuk meningkatkan kemahiran naik. Keberkesanan terhadap penghantar p-hailing?

“Kalau Wan Fayhsal tak minat, nanti kami je lah yang pantau keberkesanan peningkatan peruntukan ‘upskilling’ kepada kawan kawan p-hailing kita,”, katanya di aplikasi X.

Beliau mengulas lanjut kenyataan dibuat Wan Fayhsal yang mendesak Anwar untuk mengambil serius isu mogok penghantar p-hailing semasa Himpunan Tuntutan Hak Rider Se-Malaysia di ibu pejabat Grab Malaysia dekat Petaling Jaya, Jumaat lalu.

Sementara itu dalam kenyataan lain, Haziq berkata, dakwaan Wan Fayhsal berkaitan kedudukan syarikat Grab di bawah MoF dikesali kerana ia merupakan satu pembohongan yang nyata.

“Sekiranya benar Wan Ahmad Fayhsal mengimani dakwaannya, maka seharusnya janji yang turut dinyatakan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sewaktu menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2020 untuk memudahkan urusan penghantar makanan mendapatkan pinjaman dan bantuan subsidi minyak terlaksana.

“Malah kadar upah ini boleh sahaja dikekalkan terus kerana kononnya di bawah MoF, tetapi itu bukanlah kesnya,” katanya.

Justeru, Haziq memaklumkan, sebagai pembangkang yang konstruktif, pihak berkenaan wajar memantau rapat pelaksanaan program latihan kemahiran dan ‘upskilling’ supaya manfaatnya dilimpahkan secara maksimum kepada ‘rider’.

Tambah beliau, Wan Fayhsal jelas gagal menjadi seorang persona pembangkang yang mengkritik secara konstruktif malah meneruskan projek pembodohan umatnya.

BACA JUGA Provokasi lagakan PM Anwar dengan pihak istana