Pertama kali Selangor tuai 118 tan jagung bijirin, terkejut tahu kos berjaya dijimatkan
Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berjaya menuai 118 tan tanaman jagung bijirin berkualiti tinggi sejak ia mula ditanam tahun lalu.
Ia merupakan tuaian pertama dalam usaha untuk menstabilkan harga ayam di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, tuaian pertama itu membabitkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar.
“Julung kali dalam sejarah, Selangor tanam jagung bijirin di tanah gambut dan inilah hasil daripada Pelan Transformasi Agro Selangor dengan kerjasama PKPS yang meletakkan penanaman ini sebagai agenda penting kerana menjadi bahan utama dalam makanan ayam.
“Justeru, untuk tuaian fasa pertama ini sebanyak 118 tan jagung bijirin diperoleh dengan kos kira-kira RM970 setiap tan berbanding harga import RM1,200 per tan (tidak termasuk pengangkutan),” katanya kepada media selepas menyaksikan tuaian pertama semalam.
Jika dikira-kira, kos mengeluarkan 118 tan jagung bijirin menelan belanja sekitar RM114,460, lebih rendah berbanding jika kerajaan mengimport tanaman itu iaitu sekitar RM141,600.
Ini bermakna kerajaan berjaya membuat penjimatan hampir RM30,000, tidak termasuk penjimatan dari segi kos pengangkutan.
Izham berkata Malaysia mengimport kira-kira empat juta tan jagung setahun dari negara luar, justeru, inisiatif itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada import selain memberi kesan positif kepada rantaian bekalan makanan seperti menurunkan harga jualan ayam khususnya yang dijual oleh PKPS.
Izham berkata, jawatankuasa melalui PKPS juga bercadang untuk memperluaskan penanaman jagung dan akan melihat potensi tanah di sekitar Selangor atau di negeri lain.
“Tanaman ini mempunyai permintaan yang tinggi, selain harga jualannya juga tinggi dan boleh memberi keuntungan berbaloi,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Sementara itu, Dr Mohamad Khairil berkata penanaman fasa kedua dijangka bermula pada Mac.
“Projek yang menelan belanja kira-kira RM4 juta itu melibatkan empat fasa iaitu pembersihan tanah, pembinaan infrastruktur, penanaman dan penuaian, dengan setiap kitaran penuaian memerlukan antara 100 dan 115 hari.
“PKPS mengalu-alukan perkongsian strategik. Kami komited untuk meningkatkan pengeluaran jagung bijirin, khususnya di Selangor, dan menawarkan kepakaran teknikal sedia ada untuk kerjasama komersial,” katanya.
Tambahnya, PKPS juga akan membuka pusat pengumpulan jagung bijirin yang mempunyai kapasiti menyimpan kira-kira 200 tan tanaman.
Mengenai Jelajah Jualan Ehsan Rahmah (JER) 2024, beliau berkata PKPS menyasarkan nilai jualan RM60 juta termasuk subsidi RM10 juta yang ditawarkan kerajaan negeri.
BACA JUGA Mulanya suruh boikot, sekarang salahkan PMX