Ini cerita paling mudah faham bagaimana PADU boleh bantu orang susah

Seringkali kita terdengar orang-orang susah dibantu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti masyarakat, sehinggakan terlintas di fikiran – di mana YB mereka dan di mana bantuan kerajaan?

Apabila kisah mereka tular, wujud konotasi negatif terhadap seolah-olah kerajaan mengabaikan rakyat mereka yang sedang kesempitan.

Di sini, Kementerian Ekonomi menjelaskan dengan ringkasan paling mudah bagaimana sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bakal membantu golongan memerlukan, sekaligus memastikan mereka tidak tercicir dari mendapat bantuan dan perhatian kerajaan.

Kami kongsikan penjelasan yang disiar di Facebook rasmi Kementerian Ekonomi:

Kita semua tentu pernah terdengar ada golongan yang tercicir daripada bantuan kerajaan.

Golongan yang terpinggir ini ada kalanya dibantu oleh NGO dan komuniti masyarakat. Namun, apabila kisah mereka tular, wujud konotasi negatif terhadap kerajaan.

Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk terus berusaha memastikan setiap rakyat yang berhak dan layak, mendapat akses kepada segala bantuan dan program kerajaan.

Tapi, bagaimana caranya? Era digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), sains data.

Komponen-komponen ini boleh membantu kerajaan membuat perancangan yang baik, strategi yang tepat, dan pelaksanaan yang berkesan.

Di sini Pangkalan Data Utama (PADU) memainkan peranan yang sangat besar kepada negara.

PADU bukan setakat untuk penyasaran semula subsidi, bahkan peranannya jauh lebih besar daripada itu.

Dengan pengumpulan data yang sebegitu banyak, dibantu oleh AI, sesuatu keputusan akan lebih terfokus, efisien, dan pantas.

Bayangkan kisah ini

Seorang jurutera muda, gajinya tidak pernah naik selama lebih lima tahun.

AI di PADU boleh cadangkan kursus tertentu daripada kerajaan kepada jurutera tersebut untuk menaikkan kemahirannya.

Atau kisah ini.

Seorang ayah tunggal yang sudah beberapa bulan tiada caruman KWSP.

AI di PADU boleh cadangkan jawatan kosong yang ada di sekitar tempat tinggalnya, yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahirannya.

Atau kisah ini.

Ada komuniti di kawasan pedalaman yang menghadapi masalah tumbesaran kanak-kanak.

AI di PADU boleh cadangkan kerajaan untuk mengadakan karnival jualan murah makanan berkhasiat, atau kempen kesedaran kepada masyarakat setempat di situ.

Terlampau banyak kemungkinan yang kita mungkin tak terbayang sekarang.

Seperti sebuah infrastruktur lebuh raya yang kekal zaman-berzaman, PADU merupakan sebuah infrastruktur digital yang akan kekal menjadi tulang belakang kerajaan di masa hadapan.

BACA JUGA MP Tg Karang pula isytihar sokong Anwar