Pelan strategik 3 tahun AMANAH pastikan menang selesa PRU16

AMANAH sedang merangka pelan strategik bagi memastikan parti itu menang selesa pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kata Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, pelan strategik yang telah diluluskan dalam mesyuarat nasional awal Januari lalu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“AMANAH Nasional melalui perancangan strategik parti sedang menyediakan pelan dan program untuk AMANAH bergerak sepanjang 3 tahun bagi menyediakan tapak yang kukuh supaya AMANAH mendapat kemenangan selesa dalam PRU akan datang.

“Program perancangan strategik 3 tahun AMANAH telah diperakui dalam mesyuarat nasional yang pertama diadakan di Seremban awal tahun 2024. Dalam masa terdekat kita akan melancarkan program ini bersama,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily pagi ini.

Sementara itu, beliau menyeru kepada semua ahli AMANAH untuk fokus kepada beberapa perkara penting buat masa ini antaranya memperkukuhkan ukhuwah perpaduan sesama ahli dan melayani semua sebagai keluarga besar AMANAH.

AMANAH

“Ahli diseru fokus kepada setiap aduan dan masalah ahli lain untuk diselesaikan dengan kemampuan yang ada termasuk soal kebajikan ahli.

“Fokus memperkukuhkan negeri, kawasan dan cawangan dengan program dalaman dan program masyarakat bagi memperkenalkan AMANAH kepada masyarakat,” ujarnya.

Bagi memajukan AMANAH, Mujahid menggesa semua pihak meninggalkan segala sikap yang tidak membangunkan parti seperti kekelompokkan, manupulasi dan menjadikan parti milik peribadi serta mengumpul pengaruh untuk diri sendiri demi merebut peluang jawatan rasmi yang ada.

Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga mahukan tahun 2024 sebagai peluang untuk AMANAH meloncat tinggi ke hadapan, khususnya melalui barisan baharu kepimpinan yang telah diberikan mandat untuk memimpin.

Pada masa sama beliau memaklumkan pihak pimpinan AMANAH Nasional sedang berusaha keras untuk menyelesaikan perkara perlantikan Pengerusi AMANAH Negeri mengikut perlembagaan parti dan SOP yang ditetapkan.

“Diharap semua pihak bersabar sehingga arahan dikeluarkan dan ketetapan dibuat,” ujarnya.

BACA JUGA ‘Isteri si jutawan lupa apa suaminya sudah buat…’