Mansuh pencen ahli politik bukti kerajaan cakap serupa bikin
Kenyataan tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju agar skim pencen ahli politik turut dimansuhkan, membuktikan Perdana Menteri ‘cakap serupa bikin’.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar berkata, keputusan Anwar itu akan menjadi satu tamparan hebat kepada ahli politik yang bersuara berkaitan pencen ahli politik hanya selepas kehilangan kuasa, tetapi tidak berbuat apa-apa ketika mempunyai kuasa.
“Perbincangan terkait pemansuhan pencen yang cukup mewah buat ahli politik telah lama menjadi polemik dan kini ditamatkan dengan keputusan Kerajaan Perpaduan yang nyata mempunyai iltizam yang sangat tinggi.
“Hal paling besar terhadap pelaksanaan pemansuhan pencen untuk ahli politik adalah supaya pimpinan politik turut menjalani kehidupan sama seperti rakyat biasa, di samping mencerminkan pemakaian keputusan dan dasar Kerajaan terhadap semua golongan tanpa mengira darjat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada semalam, Perdana Menteri berkata, beliau secara prinsip bersetuju bahawa apa jua keputusan berkaitan sistem pencen bagi penjawat awam, turut terpakai kepada ahli politik.
Respon positif itu hadir susulan luahan terbanyak rakyat yang mahukan sistem pencen kepada wakil rakyat dan ahli politik turut dimansuhkan.
“Kalau kita mula pada 1 Feb 2024, semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua pelantikan baharu (termasuk) ahli politik,” katanya.
BACA JUGA Anwar setuju mansuh pencen juga terpakai kepada wakil rakyat