Kerajaan Perpaduan demi kestabilan untuk rakyat

Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan merupakan satu sejarah buat negara susulan kestabilan yang berjaya dikecapi sekarang.

Beliau berkata, pihak pembangkang seharusnya memanfaatkan kestabilan itu dengan memberi cadangan-cadangan kepada kerajaan.

“Kalau pun mereka tidak setuju (tidak setuju secara perbahasan dasar), mereka boleh memberi cadangan-cadangan.

“Jadi daripada situ, rakyat boleh membuat perbezaan (perbandingan) termasuk pilihan raya (untuk memilih).

“Tetapi bukanlah dengan kestabilan ini, seolah-olah mereka nak terarah kepada mahu menghancurkan pula kestabilan ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Perpaduan Negeri Perak, di Ipoh.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kestabilan yang dinikmati ketika ini bukan untuk mereka sebagai ahli politik, tetapi untuk kepentingan rakyat.

“Sepatutnya mereka (pembangkang) menjaga kestabilan ini, tetapu ia tidak menghalang mereka untuk mengkritik.

“Malangnya selama kita (kerajaan) sudah setahun ini, tiada satu pun kritikan yang membina, yang ada cuma isu liberal, perkauman dan DAP,” bidas beliau.

BACA JUGA: ‘Kita perangi politik PN’