Akaun RM15 juta dibeku: Aman Palestin fail semakan kehakiman

Selepas dua bulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank dan entiti syarikat lain bernilai RM15 juta, Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) akhirnya memfailkan semakan kehakiman.

Menurut peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Sehingga 31 Januari, katanya, dua surat telah diutus kepada SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari 2024, merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan bagi tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.

“SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusiaan meruncing dan ratusan mati setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

SPRM sebelum ini dilapor berkata, telah merakam beberapa keterangan saksi penting.

Hasil siasatan awal, SPRM mengenal pasti beberapa isu disyaki penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat itu.

SPRM memaklumkan pihaknya telah membuat penggeledahan di premis Aman Palestin dan memperoleh dokumen berkaitan kewangan serta pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) serta Kanun Keseksaan (Akta 574).

BACA JUGA SPRM masih siasat derma kepada Aman Palestin