Insya-Allah keputusan Lembaga Pengampunan Najib minggu ini – Zaliha
Kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka dikeluarkan minggu ini.
Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini.
“Itu nanti kita tunggu kenyataan (Lembaga Pengampunan)… insya-Allah minggu ini kita harapkan,” katanya ketika ditemui media sempena pelancaran Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024).
Media antarabangsa Channel NewsAsia (CNA) dalam laporannya mendakwa Najib telah diberikan pengurangan hukuman daripada 12 kepada enam tahun.
Media itu yang memetik sumber termasuk pegawai kanan kerajaan, melaporkan pengurangan hukuman penjara terhadap Najib atas kesalahan rasuah dibuat Lembaga Pengampunan itu dalam mesyuarat pada Isnin lepas.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam menegaskan beliau bukan sumber yang dipetik dalam laporan sebuah portal media antarabangsa yang mendakwa hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib akan dikurangkan.
BACA JUGA Pas tak pernah agresif desak batal konsert semasa jadi kerajaan