Semailah benih budaya perpaduan, buang mesej berbaur kebencian
Perdana Menteri mengajak rakyat untuk menyemai benih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah antara satu sama lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai itu juga selaras dengan konsep Madani yang menuntut rakyat menyantuni semua dan bermuafakat dalam menjayakan agenda pembangunan di negara ini.
“Selamat menyambut Ulang Tahun Ke-50 buat seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Semailah benih budaya perpaduan dan membuang mesej berbaur kebencian dengan sikap berkasih sayang juga rahmah antara satu sama lain.
“Ini juga selaras dengan konsep Madani yang menuntut kita harus santuni semua dan bermuafakat dalam menjayakan agenda pembangunan di negara ini.
“Semoga Wilayah Persekutuan terus maju, mampan dan sejahtera!,” katanya di laman sosial rasminya, genap 50 tahun Wilayah Persekutuan.
Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) disambut di Dataran Putrajaya hari ini bersekali dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD 2024) hingga 4 Februari ini.
HWP 2024 yang bertemakan ‘Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni’, menumpukan kepada program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan B40 dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Sebanyak 61 program telah disusun sempena sambutan HWP 2024 di bawah enam teras iaitu Teras Pengiktirafan; Teras Ilmiah dan Pendidikan; Teras Usahawan; Teras Kemasyarakatan; Teras Seni dan Budaya dan Teras Sukan.
BACA JUGA Melimpah jemaah Subuh, umat Islam bersatu di bawah Madani PMX