Isu air UMS: Dah siap gerudi tiga telaga tiub

Sinar di hujung terowong berhubung isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mulai kelihatan selepas lapan bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Tiga daripada enam telaga tiub bernilai RM3 juta di kampus induk universit itu sudah siap, semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ketiga-tiga telaga itu mempunyai sumber air bawah tanah yang diperlukan untuk menangani krisis air di kampus UMS.

Mustapha Sakmud

Beliau berkata, seterusnya ialah pemasangan tangki dan sistem penapisan air disusuli kerja perpaipan bagi menyalurkan air ke kolej kediaman penuntut.

“Tiga telaga tiub sudah siap digerudi dan kini kontraktor dalam proses membuat tangki serta memasang penapis air sebelum disusuli pemasangan paip ke asrama.

“Tiga lagi telaga tiub masih dalam proses penggerudian.

“Saya akan terus memantau pelaksanaannya termasuk membuat lawatan mengejut bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada Mac depan,” lapor BH.

Mustapha berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau kerja penggerudian dilakukan syarikat kontraktor di UMS, semalam.

Menurutnya, projek itu bagaimanapun hanya bersifat penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan beban pelajar akibat bekalan air tidak mencukupi daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Kita mahu tekankan kepada pihak JANS supaya dapat menyalurkan sekurang-kurangnya tiga juta liter sehari (MLD) ke tangki UMS.

“Ini penting sebab usaha yang kita buat ini (telaga tiub) hanya untuk sementara saja.

“Ia tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan air penuntut dan kegiatan biasa di universiti,” ujarnya lagi.

Projek telaga tiub yang dijadual siap sepenuhnya pada Mac depan mendapat perhatian Perdana Menteri selepas pelajar UMS mengadu berdepan kesukaran akibat krisis bekalan air yang kritikal di kampus itu tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, Anwar mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk membantu menangani masalah itu dan ia digunakan untuk membina sistem telaga tiub sebagai langkah jangka pendek menampung keperluan air di kampus UMS.

Mengikut laporan sebelum ini, pihak JANS berdepan masalah kekurangan bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berikutan kadar permintaan yang melebihi kapasiti menyebabkan banyak kawasan, termasuk UMS terjejas.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta JANS meningkatkan pemantauan dan operasi pemotongan penyambungan paip haram di sekitar Sepanggar yang dikenal pasti turut menyumbang kepada masalah tekanan rendah.

BACA JUGA Sudah 7 bulan sejak PM luluskan, apa UMS buat dengan RM3 juta?