Jika BAP dipotong, kemukakan aduan – Fadhlina

Ibu bapa diminta segera melaporkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sekiranya mereka tidak menerima secara penuh Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah BAP tidak boleh dipotong oleh mana-mana pihak dan ia mesti sampai kepada ibu bapa dalam jumlah yang diperuntukkan.

”Kalau ada pemotongan, ianya perlu dilapor kepada KPM untuk terus kita siasat kerana jumlah yang diberikan perlu diterima sepenuhnya.

“Jika ada pemotongan, kita minta kemukakan aduan.

“Kita akan siasat dan jumlah itu mesti dikembalikan,” katanya lapor media tempatan selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek BAP Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua di Kajang, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meminta sekolah yang memotong bantuan tersebut supaya mengembalikannya semula kepada ibu bapa dalam jumlah penuh.

Baru-baru ini, seorang individu mendakwa pihak sekolah anaknya hanya memberikan RM50 ketika proses pengagihan BAP yang sepatutnya berjumlah RM150.

Individu berkenaan mendakwa, guru di sekolah itu memotong RM100 sebagai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta koperasi.

Minggu lalu, KPM memaklumkan penyaluran BAP sebanyak RM150 bagi setiap murid perlu dilakukan tanpa sebarang bentuk pemotongan dan kementerian prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima berkaitan penyaluran peruntukan bantuan itu kepada murid.

BACA JUGA Menteri benarkan murid mangsa banjir pakai baju biasa ke sekolah