Masalah air di Kedah kronik – Akmal Nasir
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan bahawa masalah bekalan air bersih di Kedah adalah di tahap yang kronik.
Menurutnya, masalah itu berpunca daripada isu pengurusan air tidak terhasil (NRW) yang tinggi serta kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) pun tidak mencukupi.
“Masalah projek naik taraf LRA di Bukit Selambau, sepatutnya siap pada tahun 2023.
“Kini menjadi projek sakit, dan ini keadaannya pada tahun 2024,” katanya sambil berkongsikan video di laman X akaun rasminya.
Rakaman video semasa tinjauan beliau di lokasi projek naik taraf LRA Bukit Selambau mendapati kerja-kerja tanah masih dilakukan.
Menurut maklumat video itu juga, sub kontraktor baharu sahaja dilantik pada bulan lalu.
Projek yang sudah diberi lanjutan tempoh masa (EOT) itu sepatutnya siap pada Jun nanti.
“Secacak (besi) pun tak naik lagi,” kata Akmal di hadapan wakil kontraktor.
Kerja pembinaan LRA terutama di Bukit Selambau dan Sungai Limau berjalan terlalu perlahan sehingga menyukarkan rakyat di Kedah terutama pengguna air di daerah Kuala Muda.
BACA JUGA Tiga tahun Kedah di bawah Sanusi, tiada penyelesaian masalah air?