Wanita berputih mata RM460,000 lesap ditipu beli hartanah

Akibat ditipu dalam urusan jual beli hartanah di Seremban, seorang wanita berumur 57 tahun berputih mata menanggung kerugian sebanyak RM460,000.

Mangsa yang dijanjikan segala urusan akan diselesaikan dalam masa dua bulan tetapi selepas menunggu dalam tempoh itu, individu bertanggungjawab gagal dihubungi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, mangsa membuat pembayaran melalui perbankan dalam talian dan tunai sebanyak RM460,000.

“Semalam, laporan berkait modus operandi tipu pembelian hartanah secara bersemuka diterima.

“Mangsa seorang pesara wanita berumur 57 tahun dikatakan berurusan dengan seorang individu berkaitan pembelian hartanah di sekitar Seremban,” katanya dalam satu kenyataan.

Hatta berkata, mangsa dipercayai membuat pembayaran dalam urusan berkenaan dengan enam transaksi dan bayaran secara tunai berjumlah keseluruhan RM460,000.

“Selepas membuat keseluruhan pembayaran bagi hartanah itu, mangsa dijanjikan segala urusan akan selesai dalam tempoh dua bulan.

“Namun, selepas tempoh itu berakhir, mangsa memaklumkan gagal menghubungi individu yang menguruskan proses jual beli itu sebelum membuat laporan polis,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Ketika hangat syor mansuh skim pencen, pesara guru ini lesap lebih RM400,000