Indeks Persepsi Rasuah: Ini sebab Hasbie mulanya berdebar

Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda menyifatkan kerajaan hari ini berada pada landasan yang betul apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 negara meningkat empat tangga daripada 61 ke 57 menerusi 180 negara yang dinilai.

Beliau berkata, meskipun pencapaian tersebut mungkin dilihat sebagai sesuatu yang sederhana, namun perkara baik itu harus diraikan.

Jika trend tersebut berterusan, beliau optimis dalam tempoh sembilan tahun lagi, Malaysia berupaya berada pada kedudukan 10 negara terbaik yang ada di dunia.

”Kita tidak boleh selesa dengan kedudukan ini kerana pandangan pelabur sudah tentu mereka akan melihat kepada CPI untuk membuat penilaian.

”Kalau mereka nampak kita punya (pencapaian) makin buruk, maka sudah tentu mereka akan memilih negara lain yang lebih telus dan lebih baik daripada segi melawan rasuah,” katanya dalam rancangan temu bual ‘Ruang Bicara’ malam tadi.

Rancangan terbitan Bernama TV itu mengupas tajuk ‘Indeks Persepsi Rasuah 2023: Malaysia Progresif?’ yang dihoskan oleh Sherkawi Jirim dan turut dihadiri Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Karim.

Menurut Hasbie yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional, sebelum indeks itu diumum, beliau mengakui berdebar untuk menunggu keputusan kajian tersebut.

”Saya memang berdebar kerana bimbang jika CPI negara lebih teruk berbanding 2022, maknanya orang akan melihat bahawa kerajaan ini tidak berada pada landasan yang betul.

”Alhamdulillah, saya lihat pertambahan sebanyak tiga mata dan kedudukan kita pun empat anak tangga lebih baik,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, CPI 2023 yang dikeluarkan Transparency International (TI) pada 30 Januari lalu mencatatkan peningkatan kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.

Penambahan mata itu sekali gus meletakkan negara di kedudukan tangga ke-57 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-61 pada CPI 2022.

BACA JUGA ‘SPRM bebas siasat dan tangkap sesiapa yang rasuah’

Â