Mesyuarat khas MKT Umno pagi ini bincang pengurangan hukuman Najib
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan pengumuman pengurangan tempoh hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung 11 pagi.
“Satu mesyuarat khas MKT Umno akan diadakan 11 pagi esok (hari ini) untuk membincangkan perkembangan muktakhir politik semasa tanah air khususnya bersangkutan dengan pengumuman pengurangan tempoh hukuman Najib oleh Lembaga Pengampunan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno membuat keputusan menangguhkan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadualkan hari ini.
Kolokium yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Ghani sepatutnya akan dihadiri 2,000 pimpinan dari 191 Bahagian seluruh negara.
Terdahulu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028, menurut Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.
Dalam masa sama, denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Walau bagaimanapun, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun jika denda tidak dibayar dengan tarikh pembebasan beliau kelak adalah pada 23 Ogos 2029.
BACA JUGA Umno tangguh kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera