Najib boleh kemuka pengampunan sekali lagi kepada Agong baharu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Datuk Seri Najib Razak sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Menurut Anwar, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga boleh mengemukakan permohonan rayuan pengampunan sekali lagi selepas ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu bertujuan mendapatkan pengampunan seterusnya.
“Bagaimanapun, terdapat kes (melibatkan Najib) yang sedang berjalan di mahkamah, melalui proses kehakiman secara bebas yang masih perlu diteruskan.
“Pada masa sama, Najib berhak sekali lagi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) baharu. Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia di luar bidang kuasa Perdana Menteri atau kerajaan.
“Saya menghormati keputusan Tuanku. Sekarang kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong baru. Apa saja yang dirasakan, sudah tentu ia sangat politik, ada yang menyokong, ada yang tidak.
“Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kamu mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan,” katanya lapor Harapan Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam temu bual bersama stesen televisyen Al-Jazeera, petang semalam.
Anwar berkata, kini Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan dan jika seseorang itu berpuas hati, bermakna ianya adalah sesuatu yang adil.
‘Tetapi jika sebaliknya, beliau masih mempunyai jalan untuk merayu selepas ini,” ujar pemimpin negara berusia 76 tahun itu.
Selain tarikh pembebasan awal, Lembaga Pengampunan itu turut mengumumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
BACA JUGA PM Anwar seru hormati keputusan Lembaga Pengampunan