Penanaman bawang besar-besaran tahun ini

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tahun ini adalah masa untuk Malaysia menggiatkan penanaman bawang secara besar-besaran.

Beliau turut memberi jaminan negara berada di landasan tepat dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada bawang merah import.

Katanya, perkara itu adalah susulan kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan tiga varieti Bawang Merah Mardi iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 tahun lalu.

“Tahun 2024 adalah masa untuk kita mengorak langkah kepada penanaman secara besar-besaran.

“Bersama kita mampu jayakannya!,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Mohamad ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan industri bawang tahun ini.

Dalam memenuhi matlamat pengurangan import bawang sebanyak 30 peratus, beliau berkata kementeriannya menyasarkan kawasan penanaman seluas 1,447 hektar.

Jabatan Pertanian Malaysia pada 24 Januari lalu, telah memulakan penanaman bawang merah MARDI BAW-1 di kawasan seluas 1 hektar di Kuala Bikam, Batang Padang, Perak.

BACA JUGA Bawang merah tempatan: Ini arahan Mohamad kepada MARDI