Pengampunan penuh Najib: UMNO akan rayu Sultan Ibrahim

UMNO akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang menghadiri Mesyuarat Khas MKT di ibu pejabat parti hari ini, dilapor berkata demikian.

Mesyuarat terbabit bagi membincangkan pengumuman semalam berhubung pengurangan hukuman dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Susulan itu, jelasnya, UMNO akan menganjurkan kempen mengumpul tandatangan ahlinya di seluruh negara dalam usaha mendapatkan pengampunan penuh diraja untuk Najib.

Lokman berkata, kempen tersebut akan dimulakan dengan Presiden UMNO berjumpa Ketua Bahagian untuk menerangkan kedudukan sebenar berhubung isu terbabit.

“Kita (Ahli MKT UMNO) menjunjung kasih keputusan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Lembaga Pengampunan.

Najib Razak

“Namun, kita bersedih kerana Najib tidak diberikan pengampunan penuh, dan UMNO akan berusaha mengumpulkan tandatangan di seluruh negara untuk merayu Yang di-Pertuan Agong Ke-17 supaya mempertimbangkan sekali lagi pengampunan diraja kepada Najib,” katanya, lapor BH.

Terdahulu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, mengumumkan Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022.

Ini bermakna Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan dijangka bebas awal pada 23 Ogos 2028.

Dalam masa sama, denda perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, jika denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali
pada 28 Julai 2020 mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Justeru, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib.

Keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

BACA JUGA Ini 12 fakta pengampunan Najib