Perpustakaan awam selamba guna nama ‘library’, warganet seru nama MPKJ
Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor yang menggunakan papan tanda bahasa Inggeris ‘Library’ menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pejuang bahasa.
Peranan pusat bacaan itu yang sepatutnya memartabatkan bahasa kebangsaan dikatakan telah lari daripada konsep asalnya kerana menggunakan bahasa asing.
Hantaran itu mula dimuat naik oleh seorang penulis buku, Khairul Hakimin Muhammad yang menyatakan kegusaran terhadap penggunaan bahasa asing pada papan tanda perpustakaan awam.
“Kejutan besar di Bandar Baru Bangi, Perpustakaan Awam Bandar Baru Bangi kini dinamakan dengan nama Bahasa Inggeris, ‘Library’.
“Sedang kita berusaha nak memandaikan semua dalam menggunakan Bahasa Melayu sebaik-baiknya, ini pula jadi,” ujarnya.
Warganet di ruangan komen turut sependapat dengan individu berkenaan selain mempersoal siapa sebenarnya bertanggungjawab mencadangkan papan tanda berkenaan.
Atas sebab itu pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) digesa untuk tampil menjawab berhubung hal tersebut.
“MPKj kena bertanggungjawab, isu ini bukan perkara kecil sebab ia melibatkan martabat negara, walhal kita berada di Malaysia bukan negara barat,” kata Farahainkalis.
Menerusi hantaran berasingan, seorang pempengaruh media sosial, Muhamad Harris Nasril pula memuat naik gambar perpustakaan di Indonesia yang mengutamakan bahasa mereka sendiri sebelum bahasa asing lain.
Belum ada sebarang kenyataan dari pihak PPAS terbabit mahupun MPKJ berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mencetuskan provokasi berkaitan perkara tersebut.
BACA JUGA Gaji bukan faktor utama polis terlibat rasuah
Â