Buang masa sahut cabaran tidak masuk akal Najib, kata Ramkarpal
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh enggan melayan cabaran debat yang dibuat pengendali Facebook Datuk Seri Najib Razak, kerana menyifatkan ia sebagai membuang masa.
Bekas timbalan menteri undang-undang itu, berkata, tidak ada gunanya berdebat dengan bekas Perdana Menteri itu kerana keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan memutuskan dia bersalah.
Katanya, sebarang perdebatan, sama ada dengannya atau sesiapa sahaja, tidak akan mengubah fakta bahawa Najib kekal sebagai banduan dan sabitannya adalah selamat.
“Saya telah diberitahu bahawa seseorang yang menggunakan akaun Facebook bekas Najib telah mencabar saya untuk berdebat. Dalam apa jua keadaan, saya menganggap catatan Facebook tersebut telah diarahkan oleh Najib.
“Adalah bijak bagi Najib untuk berhenti mengeluarkan cabaran yang tidak masuk akal untuk berdebat dengan orang lain, yang hasilnya, tidak ada bezanya dengan nasibnya.
“Oleh itu, ia akan membuang masa untuk menyahut cabaran yang tidak masuk akal ini,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Semalam, wakil kepada bekas perdana menteri itu mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman terhadap Najib untuk berdebat secara terbuka berkaitan kes SRC International.
Pengendali Facebook Najib itu memetik nama Ramkarpal, Tony Pua dan Hanipa Maidin.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman Najib dari penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM120 juta kepada RM50 juta.
Mereka antara lain membangkitkan kenyataan seorang hakim ketika perbicaraan yang menyifatkan kes itu sebagai memalukan negara.
Sementara itu Ramkarpal berkata, jelas sekali tindakan Najib yang mengajaknya berdebat adalah untuk menggunakan beliau supaya kekal relevan.
“Saya tidak akan membiarkan diri saya dipergunakan dengan aksi publisiti murahan beliau ini.
“Kasihan melihat Najib dalam keadaan terdesak. Mungkin lebih baik dia memanfaatkan masa di penjara sekarang dengan bermuhasabah diri dan bertaubat,” ujarnya.
BACA JUGA MB Kelantan ‘tumpang’ DendengNyet Berapi Khairul Aming
Â