Bunuh diri: Kelantan adakan Solat Hajat di Jambatan Tendong pagi ini
Selepas penyerahan memorandum yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Yang Dipertuan Agong 23 Januari lepas yang mengadu ramai orang Melayu membunuh diri, kerajaan negeri Kelantan menjawabnya dengan mengadakan solat hajat.
Ini kerana, perkara kedua yang dibangkitkan dalam memorandum itu adalah ramainya orang Melayu yang membunuh diri sekarang.
Solat hajat itu akan diadakan di atas Jambatan Tendong (gambar bawah), pagi ini, tempat utama orang Melayu dikatakan membunuh diri di Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud bakal menyertai solat hajat di atas jambatan berkenaan ekoran pertambahan kes bunuh diri di situ yang mencecah 17 kes sejak empat haun lalu.
Dalam memorandum kepada Yang Dipertuan Agong 23 Januari lepas, kumpulan yang dipimpin oleh Mahathir, Penasihat Negeri Kelantan itu mendakwa, rakyat meluahkan kekecewaan di atas peningkatan kadar bunuh diri di kalangan orang Melayu.
Mereka mendakwa, tindakan itu adalah akibat tekanan ekonomi yang kononnya gagal dikawal oleh Kerajaan Madani padahal kebanyakan kes membunuh diri berlaku di Kelantan, negeri yang diperintah oleh Pas sejak lebih 36 tahun lalu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Dr Ramli Hasnan Ramli berkata, solat hajat akan diadakan jam 9.30 pagi di atas Jambatan Tendong itu.
Sehubungan dengan itu, jalan sehala dari simpang empat Padang Layang, di sini, menghala ke simpang Tiga Tendong, Pasir Mas akan ditutup bermula 8 malam pada Ahad ini hingga 12 tengah hari Isnin ini.
“Penutupan jalan ini bagi tujuan keselamatan dan persiapan tempat di atas jambatan Tendong sempena majlis solat hajat bersama Menteri Besar Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Terdahulu media melaporkan, sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021.
Menurut Exco kerajaan negeri Mohd Asri Mat, solat hajat itu akan diadakan pada 5 Februari ini bermula jam 10 pagi dengan diimamkan ulama terkenal Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah.
Katanya dijangka hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan pimpinan masyarakat tempatan.
“Solat hajat tersebut sebagai ikhtiar dengan mengambil kira jambatan terbabit sering berlaku kejadian terjatuh daripada jambatan,” katanya di sini.
Terbaharu pada kejadian petang 15 Januari lalu, seorang usahawan kosmetik, Norhisyam Ismail, 43 dikatakan terjatuh ke Sungai Kelantan di Jambatan Tendong.
Jasadnya ditemui seorang pemancing selepas 14 hari hilang dan ditemukan di pesisir pantai di Kuala Besar.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021.
Pengarah Bomba Negeri Kelantan, Zainal Madasin dilapor berkata, lokasi paling banyak dilaporkan di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu dan Jambatan Tendong dengan tiga kes.
BACA JUGA
Bunuh diri: Solusi MB Kelantan buat solat hajat atas jambatan dipersoal