Orang bunuh diri di sini, jadi kita solat dekat sini lah – MB Kelantan
Kerajaan Kelantan mempertahankan keputusan mereka mengadakan solat hajat di atas Jambatan Tendong, Pasir Mas kerana lokasi itu menjadi tempat individu untuk membunuh diri.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, disebabkan kerap berlaku kes individu terjun jambatan, maka solat hajat dilakukan di lokasi itu.
Katanya juga, jika ada individu yang bunuh diri dengan terjun dari atas masjid, maka pasti solat hajat akan dilakukan di masjid.
“Orang terjun dari atas jambatan, bukan atas masjid. Kalau orang terjun atas masjid kita buat solat hajat atas masjid.
“Sebab dia (orang) terjun di sini (jambatan) kita solat hajat di sini. Namun, solat hajat boleh di mana-mana, tetapi kerana di sini tempat orang terjun kita buat di sini,” katanya memetik Berita Harian hari ini.
Terdahulu, solat hajat berkenaan diimamkan oleh Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang yang dihadiri lebih 500 jemaah.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021.
Bagaimanapun Harapan Daily pada semalam melaporkan bahawa sebahagian pengguna media sosial menyatakan rasa hairan dengan solusi kerajaan negeri.
Mereka berpendapat kerajaan Kelantan sewajarnya hadir dengan solusi lebih berkesan bagi membantu kehidupan rakyat supaya tiada lagi kes bunuh diri di tempat itu.
BACA JUGA Bunuh diri: Solusi MB Kelantan buat solat hajat atas jambatan dipersoal